Home Nasional Bawa surat polis atau patah balik – Ketua Polis Kelantan

Bawa surat polis atau patah balik – Ketua Polis Kelantan

Ops Benteng Polis bertugas di 57 lokasi SJR di seluruh negara, diikuti Ops Penawar 214 dan Ops Benteng AKSEM sembilan SJR. - Gambar hiasan

KOTA BHARU – Individu yang gagal mengemukakan surat kebenaran dari balai polis atau tidak mempunyai alasan munasabah untuk memasuki Kelantan akan diarah berpatah balik termasuk mereka yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata arahan tegas itu adalah bagi mengelak berlakunya penularan COVID-19 di negeri ini.

“Dalam soal ini apa yang penting jangan pula ada pihak yang membuat alasan palsu untuk merentas negeri sehingga menyusahkan banyak pihak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jalinan Strategik Jabatan Penerangan Kelantan di sini, malam tadi.

Berkuat kuasa mulai hari ini, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksana di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan sehingga 6 Dis depan.

Mengenai sekatan jalan raya (SJR), Shafien berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia akan memberi tumpuan di empat lokasi di negeri itu iaitu dua di Pasir Puteh dan masing-masing satu di Jeli dan Gua Musang.

Katanya proses ‘penapisan’ akan dilakukan seperti pemeriksaan surat pengesahan dari balai polis selain ujian saringan dan “swab test”.

“Bermula tengah malam tadi, difahamkan negeri-negeri terlibat turut melakukan SJR setiap 24 jam. Kita sebenarnya yakin rakyat sudah memahami pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19.

Katanya, bagi setiap SJR, polis ada memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu tujuh anggota dan pegawai polis yang ada di setiap SJR.

“Di SJR Pasir Puteh, pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) akan memberikan bantuan,” katanya.

— BERNAMA