Home Nasional Deepavali: Kedai masih dibuka, jangan ada pembelian panik

Deepavali: Kedai masih dibuka, jangan ada pembelian panik

Pekerja kedai yang menunggu pelanggan sempena persiapan perayaan Deepavali semasa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini di seluruh negeri di semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan ketika tinjuan lensa Malaysia Gazette di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 09 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Kaum India di negara ini yang akan menyambut perayaan Deepavali dinasihati agar tidak melakukan pembelian panik bagi mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19.

Nasihat itu diberikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tatkala kaum India di negara ini akan menyambut perayaan itu, Sabtu ini.

“Kita nasihatkan kepada mereka yang akan menyambut perayaan Deepavali supaya tidak membuat pembelian panik, kedai masih dibuka, jadi tidak perlu kita melakukan pembelian panik dan rancang pembelian kita.

“Kalau jadi pembelian panik akan berlaku kesesakan dalam pusat beli belah, itu jadi kebolehan jangkitan boleh berlaku sekiranya ada kes positif.

“Kedai akan tetap dibuka, kita tidak laksanakan PKP dan kita laksanakan PKPB,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM, hari ini.

Beliau berkata, pembelian panik hanya akan menyebabkan kesesakan di lokasi pusat membeli-belah, dan memudahkan penyebaran virus Covid-19.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai kesesakan yang akan berlaku di beberapa kawasan tumpuan kaum India di negara ini bagi membeli barangan persiapan Deepavali.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penganut agama Hindu dibenarkan menyertai upacara sembahyang di kuil sempena Deepavali pada hari pertama perayaan saja.

Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) itu hanya untuk mereka yang berada di kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain itu, setiap kuil terbabit diperuntukkan lima sesi upacara sembahyang, bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. – MalaysiaGazette