KUALA LUMPUR – Aktor, Esma Daniel berkongsi pengalaman bersama Mohd Irfan Mohamed Rawi yang merupakan salah seorang mangsa nahas helikopter di Taman Melawati, Ampang, Selangor semalam.
Menurut Esma, 51, dia ada bertemu arwah pada Ogos lalu untuk berbincang mengenai perancangan menerbitkan sebuah filem berkaitan dunia penerbangan.
Jelas pelakon itu, mereka sepatutnya bertemu buat kali kedua pada minggu lalu namun tidak kesampaian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa sejak awal Oktober lalu.
“Bulan Ogos yang lalu kami berbincang untuk membuat lem mengenai helikopter. Arwah Irfan sangat teruja dan dalam masa sama saya akan menyediakan naratif cerita bagi menghasilkan sebuah filem aviation.
“Minggu lepas arwah ada ajak untuk bertemu tapi saya tangguhkan selepas habis PKPB… PKPB ini sedikit sebanyak melambatkan usaha melaksanakan projek kami ini,” katanya.
Esma berkongsi mengenai perancangan arwah untuk menerbitkan lem ini menerusi laman Facebook.
Dalam hantarannya itu, dia turut berkongsi sekeping foto yang dimuat naik Irfan semasa pertemuan mereka pada Ogos lalu.
“Bikin filem dengan bro Esma Daniel. Perut tak sempat nak sorok,” tulis Irfan pada status foto berkenaan.
Sementara itu, Esma turut mengagumi kehebatan arwah dalam dunia penerbangan dan mendoakan supaya roh allahyarham
ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Beliau yang saya kenal merupakan di antara orang pertama menerbangkan dron di Malaysia.
“Semoga Arwah disemadikan bersama para syuhada. Salam takziah dari saya buat keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya.
Sementara itu, nahas tersebut semalam, seorang lagi mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Mohamed Sabri Baharom, 56.
Punca nahas masih belum dikenal pasti tetapi laporan awal menyebut dua helikopter terbabit dipercayai bertembung di udara sebelum helikopter yang dinaiki Mohd Irfan dan Mohamed Sabri terhempas.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Penerbangan Malaysia Bhd (MAS) Datuk Ahmad Jauhari Yahya terselamat dalam kejadian nahas tersebut.
Ahmad Jauhari dan seorang lagi yang terselamat, Tan Chai Eian, 51, berada di dalam helikopter yang berjaya mendarat dekat sebuah sekolah Tamil berhampiran lokasi kejadian. – MalaysiaGazette