KUALA LUMPUR – Langkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membentangkan belanjawan 2021 yang dilihat memberi fokus kepada menyediakan pekerjaan kepada rakyat disambut baik UMNO.
Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan berkata, Belanjawan 2021 menerusi Sistem Pengurusan Terimaan dan Penyesuaian (MySTEP) dan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) menunjukkan kerajaan prihatin terhadap kemelut yang menghimpit ekoran pandemik Covid-19.
“Belanjawan 2021 ada MySTEP (50 ribu kerja kontrak jangka pendek) termasuk guru sementara, jururawat, pegawai kebajikan masyarakat dan kerja di GLC.
“Ini bukanlah job bank yang saya harapkan secara total tetapi sekurang-kurangnya ada kesediaan untuk Kerajaan menyediakan pekerjaan dan bukan hanya memberi insentif kepada swasta untuk ambil pekerja,” kata Sharil dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, kerajaan menerusi Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata MySTEP akan menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Milik Kerajaan (GLC) mulai Januari tahun depan.
Malah JanaKerja turut akan membabitkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion, tahun hadapan.
Dalam pada itu, Shahril berharap kerajaan memperincikan kedua-dua skim itu agar memudahkan rakyat keluar daripada kemelut ekoran Covid-19.
“Belum juga jelas adakah skim latihan ini mesti disekalikan dengan peluang pekerjaan dan bukan hanya latihan kemudian kembali terdedah kepada pasaran kerja yang malap? Barangkali ya mesti disekalikan dengan tawaran kerja.
“Jika benar andaian saya, ini mungkin bibit permulaan pembudayaan baharu di mana kerajaan menjadi peserta aktif dalam pasaran kerja mengisi kelompongan sektor swasta dan bergerak ke aspirasi pengangguran sifar – suatu pembudayaan yang amat dialu-alukan,” katanya lagi.
Apa pun kata Shahril, skim JanaKerja yang diumumkan pada Jumaat lalu harus menjadi antara fokus utama pelaksanaan Belanjawan 2021.
Ia penting bagi memastikan Belanjawan 2021 berjaya atau tidak dalam merencanakan pergerakan ekonomi negara. -MalaysiaGazette