Home Ekonomi Peruntukan RM9.4b rapatkan jurang digital negara – SKMM

Peruntukan RM9.4b rapatkan jurang digital negara – SKMM

Peruntukan sebanyak RM9.4 bilion untuk membangunkan strategi digital nasional holistik merentasi sektor dan rakyat Malaysia adalah selaras dengan hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menjadikan internet sebagai utiliti ketiga sama seperti air dan elektrik.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM9.4 bilion untuk membangunkan strategi digital nasional holistik merentasi sektor dan rakyat Malaysia adalah selaras dengan hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menjadikan internet sebagai utiliti ketiga sama seperti air dan elektrik.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lalu telah memberikan tumpuan khusus kepada usaha-usaha untuk merapatkan jurang digital dan menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik.

Ini dapat dilaksanakan dengan adanya Program Jaringan Prihatin dan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Program Jaringan PRIHATIN yang menelan belanja RM1.5 bilion akan dapat dimanfaatkan oleh lapan juta dari golongan B40 dan ia akan mengurangkan beban kewangan dalam mendapatkan kemudahan internet.

“Di bawah pelan JENDELA, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM500 juta bagi tahun 2021 bertujuan untuk memastikan kesalinghubungan kepada 430 buah sekolah di seluruh negara meliputi semua negeri bagi pembangunan generasi akan datang.

“Sejumlah RM42 juta turut diperuntukkan bagi menambah baik kesalinghubungan Internet di 25 kawasan perindustrian untuk meningkatkan daya tarikan pelaburan di bawah pelan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SKMM pula katanya, akan memperuntukkan sebanyak RM7.4 billion untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar.

Pihak industri juga akan membuat pelaburan yang setanding atau lebih untuk kawasan bandar dan pinggir bandar (suburban).- MalaysiaGazette