Home Nasional Suspek utama bunuh jurutera didakwa esok

Suspek utama bunuh jurutera didakwa esok

Salah seorang dari tiga suspek kes bunuh dan bakar lelaki yang ditemui rentung dalam kenderaan Toyota Harrier dibawa oleh anggota Polis untuk di sambung reman ketika di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Suspek utama berusia antara 42 tahun yang direman sejak 29 Oktober lalu dalam kes bunuh dan membakar seorang jurutera tapak bersama kereta SUV Toyota Harrier dalam kejadian 28 Oktober lalu di Kota Warisan Sepang akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata,  suspek kini ditahan di Klang itu akan dibawa dan dituduh di Mahkamah Majistret Sepang 9 pagi esok.

Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendawaan Selangor pada pagi ini, katanya.

“Polis terima arahan untuk menuduh suspek pertama berusia 42 tahun yang merupakan kontraktor serta kenalan rapat si mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Manakala suspek kedua berusia 37 dan suspek ketiga berusia 24 tahun yang juga kontraktor yang ditahan di Klang dan juga Batu Caves 30 Oktober lalu dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu kesemua tiga suspek disambung reman enam hari untuk membantu melengkapkan siasatan kes itu.

Suspek utama berkenaan ditahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar 4.30 petang semasa mendapat rawatan untuk kecederaan melecur di kedua dua tangan dan juga betis kanannya akibat jenayah kebakaran itu.

Proses bedah siasat polis juga mendapati mangsa parah pada anggota badan dan leher akibat diiris menggunakan senjata tajam sebelum dibakar bersama keretanya.

Pada 4 November lalu ujian padanan DNA ahli keluarganya juga memutuskan si mati merupakan jurutera tapak dan juga pemilik kenderaan yang rentung dibakar dalam kejadian sekitar 3.30 pagi di kawasan Semak samun berhampiran Stesen ERL Salak Tinggi.

Saksi awam yang tinggal berhampiran kawasan itu mendengar letupan kuat sebelum menghubungi talian kecemasan.

Anggota bomba KLIA yang bergegas ke lokasi memadam kebakaran kereta yang hangus sepenuhnya sebelum menemui mayat di tempat pemandu rentung 90 peratus sebelum diserahkan kepads polis.

Polis turut menemui kesan kebakaran beberapa meter dari kenderaan ditemui dalam keadaan rentung di semak samun itu sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

Fadzil Ahmat dalam kenyataan sebelum ini mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mayat rentung: Tiga suspek disambung reman 6 hari

Mangsa rentung Toyota Harrier parah dihiris