Home Nasional Yadim, agensi agama bantu mangsa banjir

Yadim, agensi agama bantu mangsa banjir

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary melihat antara barang sumbangan sempena Program Penyerahan Sumbangan Banjir oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kompleks Tarbiyah Kampungg Darul Hidayah (KOMTA) Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2020.

HULU LANGAT – Beberapa agensi agama hari ini bergabung untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir kilat di kawasan ini.

Antaranya adalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tabung Musa’adah dan Yayasan Wakaf.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, bantuan itu setidak-tidaknya dapat meringankan beban penduduk yang dilanda musibah ketika ini khususnyaketika kerajaan sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita sangat bersimpati dengan penduduk di sini Dusun Tua contohnya yang juga terjejas, berhadapan dengan masalah banjir pada waktu ini,” katanya ketika berucap di Kompleks Tarbiyah (KOMTA) Nurul Hidayah di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Antara agensi yang memberi sumbangan adalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia  sebanyak RM15,000, Tabung Masa’adah (RM10,000) dan Yayasan Wakaf Malaysia (RM15,000).

Kesemua sumbangan dalam bentuk 500 bakul keperluan asas seperti beras, susu, gula, minyak masak dan tepung itu disalurkan akan diagihkan ke rumah-rumah oleh sukarelawan.-MalaysiaGazette