
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengisytiharkan penamatan empat kluster Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut adalah Kluster Rinting melibatkan Melaka dan Johor, kluster Semarak dan Sabindo masing-masing di Sabah dan akhir sekali kluster Jelok di Selangor dan Kuala Lumpur.
Dalam masa yang sama, katanya empat kluster baharu turut dikenalpasti hari ini iaitu kluster Liawan melibatkan daerah Keningau, kluster Tatahan di Kota Kinabalu, kluster GK Tawau danKluster Kube di Kota Bharu dan Tanah Merah, Kelantan.
Bagi kluster Liawan, Dr. Noor Hisham berkata, sehingga kini sebanyak 24 positif dikesan daripada 95 yang telah disaring.
“Kes indeks bagi kluster ini ialah kes ke 37553 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 November 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Keningau.
“Saringan kontak rapat telah mengesan 23 lagi kes positif Covid-19. Kes-kes ini dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Keningau,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, untuk kluster Tatahan seramai 28 individu telah disaring manakala 18 daripadanya dikesan positif dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Kota Kinabalu.
Dr. Noor Hisham memberitahu, Kluster GK Tawau yang bermula daripada kes disaring pada 6 Oktober yang lalu menyaksikan 49 kes dikesan positif Covid-19 manakala mereka terbabit telah dimasukkan ke Hospital tawau.
Sementara itu, beliau menambah, bagi Kluster Kube saringan terhadap 61 individu telah dilakukan dan 10 positif Covid-19 dan kesemua telah dimasukkan ke Hospital Tumpat dan Hospital Raja Perempuan Zainab II. – Malaysiagazette