PETALING JAYA – Pasangan suami isteri merupakan antara empat orang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pelaburan mata wang kripto haram dan judi atas talian yang menyasarkan warga China.
Kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di Ara Damansara dan sebuah kondominium di Bandar Sunway semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis melakukan serbuan itu berdasarkan maklumat orang ramai di daerah tersebut.
“Kita jalankan serbuan ke atas sebuah rumah teres di Ara Damansara oleh Bahagaian Siasatan Jenayah Komersial Petaling Jaya dibantu Jabatan Siber dan Multimedia Komersial Bukit Aman pada jam 1.15 tengahari.
“Dalam serbuan di rumah itu polis berjaya menahan seorang bekas pegawai bank wanita berusia 27 tahun bersama suaminya warga asing berusia 33 tahun,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Nik Ezanee, polis menjumpai beberapa buah komputer riba di kediaman bekas pegawai bank itu yang disyaki digunakan untuk aktiviti pelaburan atas talian tak berdaftar dengan bank.
Tambah beliau, pihaknya telah merampas tujuh tujuh komputer riba yang mana dua daripadanya masih berfungsi dan semakan berjaya mengenalpasti aktiviti mata wang kripto.
Berpandukan kepada hasil soal siasat suspek pasangan itu, tambah beliau, polis memasuki bilik setor di rumah sama dan menemui sebuah peti besi.
Katanya, suspek enggan memberi kerjasama untuk membuka peti besi itu dan pihaknya memlnta bantuan bomba Petaling Jaya untuk melakukannya.
“Selepas dibuka polis menemui wang tunai RM1.4 juta di dalam peti besi itu,” katanya sambil menambah polis turut menemui kunci sebuah kediaman di Sunway, Subang Jaya.
Tambah beliau, berpandukan maklumat pasangan itu, polis menyerbu sebuah kondominium mewah di Sunway dan menahan seorang lelaki dan wanita warga asing berusia 31 dan 30 tahun.
Menurutnya, semasa serbuan dilakukan mereka dipercayai sedang melakukan aktiviti pelaburan atas talian serta judi online.
Ujar Nik Ezanee, kedua-dua suspek itu mengaku mereka bekerja dengan suami bekas pegawai bank itu dan mereka bertanggungjawab membangunkan aplikasi laman web judi dan perisian dengan gaji bulanan sebanyak RM9,000.
“Kita masih cari saki baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas,” jelas Nik Ezanee. – MalaysiaGazette