TEGAS, tepat dan terarah. Berikut merupakan kata-kata yang boleh menggambarkan lima perkara yang dipersetujui bersama oleh lebih daripada 70 buah NGO mengenai hala tuju negara
pada waktu ini.
Lima perkara tersebut termaktub dalam sebuah memorandum yang disasarkan kepada semua ahli Parlimen yang kini sedang bersidang dengan fokus utama bagi membahas dan meluluskan
Belanjawan 2021.
Ringkasnya, memorandum tersebut menggesa supaya kemelut politik negara ditamatkan dengan memastikan kepentingan rakyat serta negara didahulukan, Belanjawan 2021 diluluskan
melalui Perjanjian Kerjasama berasaskan prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama, perlaksanaan Belanjawan 2021 secara inklusif, peranan penjawat awam perlu dijalankan secara profesional tanpa pengaruh politik dan penglibatan sektor ketiga yang lebih tersusun dalam usaha membina negara.
Memorandum tersebut yang diterajui oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) – sebuah NGO dakwah, tarbiah dan kebajikan – antara lain memberi penegasan khusus kepada kepimpinan
negara yang diperlukan ketika ini terdiri daripada mereka yang benar-benar berwibawa, ikhlas, bermaruah, berintegriti dan kompeten dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang
diberi oleh rakyat.
Di peringkat antarabangsa, krisis kepercayaan terhadap ahli politik semakin jelas. Secara umum, 67% responden berpandangan bahawa ahli politik paling rendah tahap kepercayaannya daripada kerjaya-kerjaya seperti menteri kerajaan, agensi pengiklanan, agamawan serta pegawai bank. Tambahan pula, lebih 50% responden merasakan menteri kerajaan tidak dapat dipercayai. Ini merupakan dapatan daripada kaji selidik terhadap 20,000 responden dari 22 buah negara pada tahun 2019 oleh Ipsos sebuah badan pemikir berpengkalan di Perancis yang menerbitkan Index Kepercayaan Global (Global Trustworthiness Index).
Berdasarkan Indeks Persepsi Penyelewengan (Corruption Perception Index; CPI) oleh Transparency International pada tahun 2019, dengan kedudukan ke-51, Malaysia berjaya
mencatatkan peningkatan sebanyak 10 anak tangga berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan kajian melibatkan 180 buah negara.
Hasil daripada usaha kerajaan ketika itu yang memberikan perhatian dan tindakan sewajarnya terhadap isu-isu ketirisan yang dihadapi oleh institusi-institusi utama negara antaranya 1MDB, SRC, Felda dan Tabung Haji menyumbang kepada peningkatan reputasi negara berdasarkan CPI.
Freedom House Index (FHI) pula, merekodkan pencapaian Malaysia dengan skor 52 pada tahun 2019 berbanding skor 44 pada tahun 2017. Kaji selidik ini melibatkan aspek keberkesanan kerajaan dengan perhatian kepada sudut keberkesanan kerajaan membanteras penyelewengan dan komitmen kerajaan terhadap prinsip ketelusan dan keterbukaan.
Impak Langkah Sheraton yang berlaku hujung Februari 2020 dirasai hingga kini. Kerajaan yang mempunyai majoriti tipis ini sedang bergelut untuk mengekalkan kekuasaan di samping
berlakunya proses “jual beli” berterusan oleh ahli-ahli parlimen tertentu bagi mencapai majoriti membentuk kerajaan.
Belanjawan 2021 atau Belanjawan Covid-19 yang dibentangkan Menteri Kewangan pada 6 November 2020 lalu, jelas mengecewakan kerana secara terang memberi keutamaan kepada kepentingan politik dengan memberi dana untuk mewujudkan semula agensi propaganda politik serta pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong sesetengah pihak dalam kerajaan kini.
Perihal ketelusan kepimpinan kerajaan kini turut menjadi persoalan. Isu seperti perkongsian data terbuka (open data) berkenaan Covid-19 serta penglibatan Menteri Besar kerajaan Negeri pimpinan pembangkang dalam proses pembuatan keputusan dalam mencegah wabak Covid-19 memaparkan realiti mengenai komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap prinsip ketelusan dalam pentadbiran dan cukup meragukan dalam konteks federalisme.
Justeru, dalam konteks politik semasa serta kegawatan ekonomi kini, kepimpinan negara terutamanya para ahli parlimen wajar mengutamakakan kepentingan rakyat dan negara dalam
proses pembuatan polisi serta mengamalkan nilai-nilai kepimpinanan yang diperlukan oleh rakyat ketika ini selaras dengan gesaan dalam memorandum tersebut.
Dan seakan-akan sesuai dengan situasi sekarang untuk kita sama-sama renungi kata-kata Presiden Amerika Syarikat ke-16, Abraham Lincoln ini: “Nearly all men can stand adversity, but
if you want to test a man’s character, give him power.” (Terjemahan: Hampir semua orang boleh bertahan menghadapi ujian, akan tetapi untuk menguji keperibadian seseorang itu, berikanlah kekuasaan kepadanya).
Awang Ilham
Pertubuhan IKRAM Malaysia