Home Nasional Peruntukan JASA naik 4 kali ganda tak boleh diterima – Najib

Peruntukan JASA naik 4 kali ganda tak boleh diterima – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyifatkan kenaikan peruntukan enpat kali ganda bagi agensi Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berbanding zaman BN adalah sukar diterima orang ramai.

Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers (BN), Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun mengakui keperluan kerajaan mempunyai unit komunikasi untuk menerangkan dan mempertahankan dasar-dasarnya, jumlah itu telah mengundang kemarahan rakyat.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, beliau boleh menerima jika peruntukan itu dibelanjakan untuk pembelian pelitup muka atau sanitizer kepada rakyat mahu pun diberi kepada ibu bapa untuk menggantikan bekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid-murid.

“Pada masa senang dan ekonomi sedang berkembang, ada perlunya kerajaan mempunyai unit komunikasi untuk menerangkan dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan agar ianya tidak disalah faham atau diputar belit oleh pihak yang mahu hasut dan tipu Rakyat.

“Tapi pada zaman krisis di mana peruntukan lebih diperlukan untuk selamatkan rakyat, kenaikan peruntukan empat kali ganda bagi agensi JASA berbanding zaman BN adalah sukar diterima orang ramai dan mengundang kemarahan rakyat.

“Saya boleh terima jikalau peruntuk an tersebut dibelanjakan untuk pembelian pelitup muka atau sanitizer kepada rakyat mahu pun diberi kepada ibu bapa untuk menggantikan bekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid-murid yang dinafikan sarapan pagi kerana sekolah-sekolah telah ditutup sehingga awal tahun hadapan.

“Suara rakyat, suara keramat. Perkara yang tidak disenangi rakyat jangan diteruskan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu memperuntukkan jumlah sebesar lebih RM80 juta JASA yang kemudiannya menjadi pertikaian pelbagai pihak termasuklah beberapa pemimpin UMNO dan parti pembangkang.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam di persidangan Dewan rakyat menggesa agar peruntukan berkenaan dibatalkan.

Selain itu, bekas Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi dilihat curiga dengan motif kerajaan untuk memberikan dana besar kepada jabatan tersebut yang disifatkannya mempunyai kaitan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terbaharu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah dilaporkan terkejut dengan peruntukan tersebut. -MalaysiaGazette