Home Ekonomi Sektor perkhidmatan bulan September pulih

Sektor perkhidmatan bulan September pulih

KUALA LUMPUR – Prestasi sektor perkhidmatan bagi suku tahun ketiga 2020 merekodkan kenaikan 27.6 peratus suku tahun ke-suku tahun dengan hasil sebanyak RM428.3 bilion, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia.

Berbanding suku tahun kedua 2020, pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan dalam segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan, yang melonjak 29.8 peratus kepada RM346.0 bilion, diikuti oleh segmen maklumat & komunikasi dan pengangkutan & penyimpanan yang meningkat 15.5 peratus kepada RM59.9 bilion.

Sementara itu, bagi perbandingan tahun ke tahun, jumlah hasil pada suku tahun ketiga 2020 mencatatkan -4.8 peratus dengan pengurangan sebanyak RM21.4 bilion.

Jumlah pekerja dalam sektor ini adalah 3.7 juta meningkat seramai 40,118 orang atau 1.1 peratus suku tahun-ke-suku tahun, dipacu oleh subsektor perdagangan borong & runcit dengan pertambahan sebanyak 27,053 orang atau 1.5 peratus, diikuti subsektor makanan & minuman meningkat sebanyak 14,051 orang atau 1.7 peratus.

Bagi perbandingan tahun-ke-tahun, jumlah pekerja berkurangan sebanyak 77,526 juta orang untuk mencatatkan -2.1 peratus pada suku tahun ketiga 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, gaji yang dibayar turut menunjukkan peningkatan sebanyak RM1.2 bilion dengan pertumbuhan 5.0 peratus suku tahun-ke-suku tahun dipacu oleh subsektor perdagangan borong & runcit dengan pertambahan sebanyak RM472.6 juta atau 3.8 peratus.
Bagaimanapun, bagi perbandingan tahun-ke-tahun, gaji dan upah pada suku ketiga 2020 merekodkan -2.5 peratus untuk mencatatkan RM24.7 bilion.

Beliau berkata, prestasi sektor perkhidmatan pada suku tahun ketiga 2020 menunjukkan peningkatan dari suku tahun kedua 2020 dan menunjukkan pemulihan berbentuk V.

Ini disokong oleh aktiviti ekonomi yang semakin banyak kembali beroperasi, ditambah dengan pelaksanaan pakej ransangan dan rancangan ekonomi jangka pendek oleh kerajaan seperti PENJANA, ujarnya. – MalaysiaGazette