WASHINGTON – Donald Trump yang masih menganggap dirinya Presiden Amerika Syarikat (AS) telah memecat Setiausaha Pertahanan, Mark Esper, yang mana ia diumumkan menerusi Twitter.
Christopher Miller yang pada masa ini merupakan Ketua Pusat Counterterrorism akan mengambil jawatan itu berkuatkuasa serta merta.
Trump setakat ini tidak mengiktiraf Joe Biden yang dipilih sebagai Presiden AS yang baharu dan mencabar keputusan belum rasmi di mahkamah.
Setakat ini, Trump masih diberi kuasa untuk membuat keputusan sebelum Biden memasuki White House pada 20 Januari tahun depan.
Esper, bekas tentera khas pernah berkhidmat dalam Majlis Keselamatan Kebangsaan sebelum dilantik Ketua Pusat Counterterrorism.
Dalam sepucuk suratnya, Esper mengucapkan terima kasih kepada pasukan tentera dan menzahirkan rasa bangga dengan pencapaiannya selama 18 bulan di Pentagon.
“Saya berkhidmat untuk negara saya dengan mematuhi Perlembagaan, jadi saya menerima keputusan anda untuk menggantikan saya,” katanya.
Namun, pemimpin Parti Demokrat, Nancy Pelosi mengkritik keputusan itu.
“Pemecatan Esper secara tiba-tiba adalah bukti bahawa Presiden Trump berniat menggunakan hari-hari terakhirnya di pejabat untuk menyemai kekacauan demokrasi di Amerika dan di seluruh dunia,” kata Speaker Dewan Perwakilan.
Esper bertengkar dengan presiden mengenai sikap White House terhadap tentera semasa tunjuk perasaan atas ketidakadilan kaum awal tahun ini.
Ketika protes yang menggegarkan AS berikutan kematian orang kulit hitam George Floyd di tangan polis di Minneapolis, Minnesota, pada bulan Mei, Trump mengancam akan menggunakan tentera untuk membendung kerusuhan.
Pada bulan Jun, Esper menyatakan penggunaan pasukan bertugas aktif tidak perlu dilakukan – kenyataan yang diketahui tidak menyenangkan White House.
Berikutan pertempuran itu, banyak spekulasi menyatakan presiden akan memecat setiausaha pertahanan, walaupun Trump tidak memberikan alasan berhubung pemecatan Esper. – MalaysiaGazette