KUALA LUMPUR – Portal Malaysia Dateline diberi kata dua untuk tampil memohon maaf secara terbuka serta menarik kembali sebuah artikel berbaur fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Portal berkenaan menyiarkan sebuah artikel bertajuk ‘Saman Agong satu tragedi negara!’ lima hari lepas, didakwa telah memfitnah serta menuduh Muhyiddin yang merupakan Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Susulan daripada itu, satu laporan polis berhubung artikel tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi diikuti di seluruh negara hari ini oleh pemimpin serta ahli parti itu.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, pihaknya terpaksa membuat laporan polis berikutan satu perenggan artikel itu yang didakwa dengan sengaja telah mencemar serta memfitnah Muhyiddin.
“Sebenarnya umum perlu tahu, tindakan laporan polis yang dibuat oleh kami bukanlah berniat untuk menyekat mana-mana kebebasan bersuara oleh sesiapa, sebaliknya anda juga perlu faham dengan kebebasan itu perlu adanya tanggungjawab sekali.
“Tidak boleh menulis sesuka hati kerana adanya kebebasan itu, jangan menulis sesuatu yang anda tidak pasti atau berbaur fitnah. Contoh, dalam artikel ini ada satu perenggan yang mendakwa yang tidak betul tentang Presiden Bersatu.
“Perenggan itu memberi gambaran sekolah-olah tindakan seorang peguam menyaman Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) itu atas arahan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Artikel itu juga bertujuan untuk mengaibkan serta menjatuhkan maruah Presiden kami yang juga seorang Perdana Menteri serta mencemarkan imej parti secara amnya.
“Saya tidak pasti penulis yang menggunakan nama ‘Rayusa’ ini nama betul atau tidak tetapi ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 499 (Akta 574) dan Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi Multimedia menyiar dan memfitnah.
“Kita mohon polis siasat, kita juga sedang kaji tindakan undang-undang serta mahu portal ini segera tampil memohon maaf dan menarik balik artikel ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar perkarangan IPD Dang Wangi yang turut disertai oleh Ketua Bahagian Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail.
Pengamatan MalaysiaGazette mendapati artikel yang di siarkan pada 7 November masih lagi ada laman portal berkenaan serta telah di kongsi sebanyak lebih 3,000 perkongsian.
Artikel dalam salah satu perenggannya menyebut ‘Difahamkan bahawa Syed Iskandar ialah ‘orang’ Muhyiddin sendiri. Jadi, jika pihak beliau sendiri, tentulah tindakan peguam itu kelihatan seperti direstui, dan memang digalakkan/dilindungi,’.
Dalam pada itu, kata Mohd Shahni yang juga Ketua Penerangan Bersatu Wilayah Persekutuan tindakan menyiarkan sesuatu tanpa sebarang usul periksa tidak mencerminkan kebebasan bersuara yang betul sebaliknya menimbulkan pelbagai persoalan lain.
“Kita tidak pasti apakah sebenarnya agenda penulis menulis sesuatu dengan menuduh secara terbuka seperti itu? Bukan sahaja menghina, mengaibkan sebaliknya langsung tidak beretika.
“Ini langsung tidak betul dan kita hendak pihak berkuasa bertindak menyiasat janganlah ini kemudian menjadi satu amalan fitnah memfitnah atas nama kebebasan media dan bersuara.
“Pastikan sumber itu betul dan ada fakta menyokong apa yang di tulis itu, janganlah fikir negara ini tidak ada undang-undang dan segelintir tidak bertanggungjawab seperti ini bermaharajalela, tidak betul,” tegasnya. -MalaysiaGazette