Home Utama Dr. Noor Hisham bimbang pergerakan penduduk Lembah Klang

Dr. Noor Hisham bimbang pergerakan penduduk Lembah Klang

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2020

PUTRAJAYA – Kesukaran mengawal pergerakan 6 juta penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya membimbangkan Ketua Pengarah Kesihatan kerana ia merupakan risiko penularan Covid-19.

Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana Lembah Klang menunjukkan tren peningkatan kes positif Covid-19  selain Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini.

“Kebimbangan kita sekarang ini ialah kes di Lembah Klang dan Negeri Sembilan semakin bertambah. Dan ini lebih daripada negeri Sabah.

“Tapi kalau kita lihat sekarang zon merah di Selangor, KL dan Putrajaya kita tidak dapat mengawal 6 juta orang keluar masuk di Lembah Klang ini kebimbangan kita dan apabila mereka dijangkiti ataupun ada membawa virus kalau mereka ke zon-zon yang hijau contohnya balik Kelantan, Perlis mungkin mereka membawa jangkitan tersebut,” katanya ketika sidang media hari ini.

Daripada 919 kes positif Covid-19 baharu yang direkodkan pada hari ini, Negeri sembilan mencatatkan 240 kes dan Selangor merekodkan 174 kes.

Justeru katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di tiga buah negeri itu sebelum ia dilanjutkan kepada negeri-negeri lain.

Menurut Dr. Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus mempertingkatkan pengesanan kes aktif supaya ia tidak menjadi risiko kepada zon hijau yang lain pada masa akan datang.

“Kita perlu mempertingkatkan lagi aktiviti-aktiviti pengesanan kes aktif dan yang kita bimbangkan ialah kepadatan penduduk yang tinggi dan pergerakan penduduk daripada satu kawasan ke satu kawasan.

“Sekarang ini jangkitan virus ada dalam komuniti jangkitan berlaku di sekolah, tempat kerja, kilang, pusat perubatan dan sebagainya sebab itulah kita mahu lihat bagaimana kita dapat membendung jangkitan Covid-19 ini sebelum merebak dengan lebih dasyat lagi kalau di luar kawalan kita,” tambahnya.

Kerajaan melaksanakan PKPB di Selangor, KL dan Putrajaya bermula 14 Oktober lalu sehingga 6 Disember ini. -MalaysiaGazette