KUALA LUMPUR – Ungkapan “takut mati” oleh Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing terhadap Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham adalah melampau dan merupakan satu penghinaan kepada semua petugas barisan hadapan.
Oleh itu, Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng menggesa King Sing memohon maaf dengan segara dan menarik balik kenyataannya.
Katanya, sekiranya King Sing mahu berpolitik, terdapat banyak lagi isu yang memerlukan perhatian beliau.
Janganlah terlalu terdesak sehingga sanggup melempar fitnah dan tuduhan tidak berasas terhadap Dr Noor Hisham dan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus siang dan malam untuk memerangi Covid-19.
”Adakah YB Bintulu sudah lupa peranan kepimpinan yang dimainkan Dr Noor Hisham sejak penularan wabak bermula menular di Malaysia?
”Sikap profesional dan dedikasi Ketua Pengarah Kesihatan kita menjadi satu inspirasi kepada rakyat untuk bersama-sama menghadapi cabaran besar ini. Beliau bukan sahaja disanjung rakyat negara kita, tetapi juga diiktiraf masyarakat antarabangsa,” katanya.
Teik Cheng berkata, kalau mengikut logik, sekiranya Dr Noor Hisham dikehendaki turun melawat tiap-tiap hospital, bagaimanakah beliau dapat menjalankan kerja-kerja penyelarasan dan merangkakan strategi.
“Jelas sekali tuduhan dan fitnah Ahli Parlimen Bintulu ini tidak masuk akal dan hanya makan diri sendiri,” katanya.