Home Nasional Kutipan Kempen Tabung Pahlawan perlahan, kumpul RM1.3 juta setakat ini

Kutipan Kempen Tabung Pahlawan perlahan, kumpul RM1.3 juta setakat ini

Tugu Negara. foto HAZROL ZAINAL, 31 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2020 agak perlahan dengan jumlah terkumpul RM1.3 juta setakat ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Beliau berkata, kutipan tabung yang dilancarkan pada pertengahan Ogos lepas itu didapati agak perlahan dipercayai kerana kurangnya sumbangan korporat susulan kesan daripada pandemik COVID-19.

“Namun JHEV ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang telah menjadi penyumbang sebahagian besar jumlah yang dikutip setakat ini.

“JHEV dengan kerjasama pelbagai pihak akan meneruskan kempen dan berharap sasaran kutipan sebanyak RM10 juta dapat dicapai sehingga tempoh berakhir kempen pada penghujung tahun ini,” katanya.

Dzulkarnain berkata demikian kepada Bernama di sini hari ini, selepas perjumpaan dengan ahli kelab Anita Bikers yang akan membantu mempromosikan kempen tabung berkenaan dengan menganjurkan konvoi motosikal berkuasa tinggi di seluruh negara bermula minggu hadapan.

Turut hadir Presiden Kelab Anita Bikers, Anita Yusop, 52, dan penyanyi Hasri Hashim, 50, atau Poey Stings yang juga ahli kelab berkenaan.

Beliau berkata, pada tahun lepas, Kempen Tabung Pahlawan berjaya mengumpul sebanyak RM10.6 juta yang digunakan untuk kebajikan veteran ATM yang memerlukan dengan jumlah keseluruhan veteran ATM adalah kira-kira 306,000 orang ketika ini.

Sementara itu, Anita berkata, beliau dan ahli kelabnya mengambil keputusan untuk tampil menjayakan kutipan tabung itu selepas terlihat kempen berkenaan di media selain bapanya juga seorang veteran ATM yang berkhidmat ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia.

“Kelab ini mempunyai ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak dan membuat kerja amal, jadi menerusi aktiviti begini saya rasa ia satu inisiatif untuk membantu veteran ATM,” katanya. – Bernama