KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali menyambut baik Penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang dilihat akan dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Katanya, ianya bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi malah akan memberi fokus ke arah amalan norma baharu pasca Covid-19 dan juga pendigitalan penyampaian perkhidmatan end-to-end (E2E) dengan mensasarkan 40 peratus perkhidmatan E2E sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Tambahnya, inisiatif ini dapat mempercepatkan perkhidmatan kepada rakyat dan mengurangkan keperluan untuk berkunjung ke kaunter dalam usaha membendung wabak.
“Penubuhan 4IR yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi digital dimanfaatkan sepenuhnya dengan potensi teknologi 4IR di negara ini.
“Ianya merupakan fokus utama agensi-agensi kerajaan dalam menyediakan satu sistem penyampaian perkhidmatan dalam talian secara E2E yang ditawarkan kepada komuniti bisnes dan rakyat yang dilaksanakan secara dalam talian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Instagram beliau hari ini.
Zuki sebagai Pengerusi Kluster Kerajaan dalam majlis berkenaan turut memberi jaminan akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa cekap dan berkesan pada setiap masa, berpegang kepada prinsip Digital First, Citizen Centric iaitu rakyat merupakan keutamaan tertinggi kerajaan.
Mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Digital dan 4IR semalam dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Majlis itu akan mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebelum ini.
Semua majlis jawatankuasa dan pasukan petugas digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh menteri, pegawai kanan kementerian dan agensi akan diselaras dan digabungkan di bawah enam kluster yang baharu diwujudkan.
Selain menteri Kabinet, majlis itu turut disertai wakil sektor awam dan swasta, industri serta kumpulan akademik yang akan menerajui usaha untuk mengekalkan kelestarian pembangunan negara dalam arus kemajuan global yang menjurus kepada pendigitalan intensif merentas segala aspek ekonomi dan kehidupan.- MalaysiaGazette