NEW YORK -Bandar raya ini memperkenalkan langkah-langkah baharu dalam membendung penularan koronavirus yang semakin mengganas.
Amerika Syarikat (AS) menyaksikan lonjakan kes – dengan rekod terbaharu 61,964 orang pesakit dimasukkan ke hospital pada hari Selasa.
Dengan langkah-langkah baharu itu, semua bar, restoran dan pusat gimnasium perlu ditutup operasinya pada jam 10 malam.
Orang ramai hanya boleh mengadakan perjumpaan tidak lebih 10 orang.
Datuk Bandar New York, Bill de Blasio memberi amaran bahawa langkah-langkah yang diambil itu adalah peluang akhir untuk menangani gelombang kedua.
Secara purata lebih 900 orang meninggal dunia sehari akibat wabak ini.
Lebih daripada sejuta kes baharu direkodkan pada bulan ini menjadikan jumlah kes yang disahkan lebih 10 juta dengan 239,732 kes kematian.
AS menyaksikan lebih 100,000 kes baharu sehari sejak 10 hari lalu dan pakar-pakar menjangkakan ia adalah wabak terburuk pernah berlaku.
Situasi ini menyebabkan hospital-hospital dijangka menyaksikan keperluan mendadak dalam tempoh terdekat ini.
Pada hari Rabu, Panel Penasihat Joe Biden, Presiden AS yang baharu dipilih dalam pilihan raya baru-baru ini berkata, negara ini perlu melaksanakan sekatan pergerakan dalam tempoh empat hingga enam minggu untuk membendung wabak ini.
Blasio berkata, sekiranya kadar penyebaran jangkitan terus meningkat, sistem sekolah awam New York City akan ditutup dan anak-anak akan memulakan kelas dalam talian.
“Ini adalah peluang terakhir kami untuk menghentikan gelombang kedua. Kami dapat melakukannya, tetapi kami harus bertindak sekarang,” katanya menerusi Twitter.
Seluruh negeri di AS telah memecahkan rekod kes baharu minggu ini.
Pada 10 November, Texas menjadi negeri pertama yang merekodkan satu juta kes. Sekiranya Texas adalah negara yang berasingan, ia akan menduduki tempat ke-11 di dunia untuk kes Covid-19 tertinggi.
Negeri-negeri lain, termasuk Illinois, Wisconsin, Minnesota, California dan Florida, juga menyaksikan kenaikan jumlah kes.
Beberapa hospital, seperti di Idaho dan Missouri, tidak menerima lagi pesakit kerana kehabisan katil. – MalaysiaGazette