Home Sukan Piala Malaysia 2020 dibatalkan

Piala Malaysia 2020 dibatalkan

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pembatalan kejohanan Piala Malaysia 2020 berkuatkuasa hari ini gara-gara penularan pandemik Covid-19 yang masih serius.

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya harus akur dengan keputusan terbaharu MKN bahawa kerajaan tidak membenarkan Piala Malaysia berlangsung sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

“Pertama, MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Pihak kerajaan menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan Piala Malaysia 2020.

“Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini MFL sudah menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kejohanan Piala Malaysia yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan. Tetapi, seperti saya katakan, MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan.

“Justeru, MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat untuk membatalkan saingan Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak seperti disarankan oleh pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan MKN menolak rayuan MFL untuk meneruskan saingan Piala Malaysia sepanjang tempoh PKPB.

Selain itu, Ab Ghani menjelaskan keputusan membatalkan saingan Piala Malaysia terpaksa dilakukan kerana tidak boleh lagi menangguhkan kejohanan itu ke bulan lain selepas kontrak pemain secara amnya akan berakhir pada 30 November ini.

“Banyak polemik akan tercetus jika MFL mengambil pendekatan untuk melanjutkan tarikh Piala Malaysia di mana pasukan akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.

“Apapun, saya mewakili bagi pihak MFL ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang membenarkan saingan Liga Malaysia seperti Liga Super dan Liga Perdana dijalankan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette