Home Ekonomi PSU berjaya bantu 2.7 juta pekerja, selamatkan 300,000 syarikat – Saravanan

PSU berjaya bantu 2.7 juta pekerja, selamatkan 300,000 syarikat – Saravanan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan bersama timbalannya, Awang Hashim (kiri) bercakap pada sidang media mengenai Inisiatif Kementerian Sumber Manusia di bawah Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Wisma PSMB, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Program Subsidi Upah (PSU) berjaya membantu 2.7 juta pekerja dan menyelamatkan hampir 300,000 syarikat sejak diperkenalkan Mac lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia lebih ke hadapan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran  berbanding negara-negara lain.

Jelas beliau, menerusi Belanjawan 2021, kerajaan akan terus komited dalam pengukuhan ekonomi melalui pemerkasaan modal insan dan pasaran buruh semasa.

“Kalau bandingkan dengan negara lain, kita sempat mengurangkan kadar pengangguran atau mereka yang hilang pekerjaan.

“PSU telah membantu 2.7 juta pekerja yang hilang pekerjaan dan 2020 selamat hampir 300,000 syarikat daripada bankrap,” katanya pada sidang media khas mengenai Belanjawan 2021 yang diperuntukan kepada Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Pekerja yang berhadapan dengan masalah di tempat kerja atau majikan diberi penerangan serta khidmat konsultasi oleh pegawai Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur di Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur, Wisma Perkeso, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2020

PSU diperkenalkan untuk membantu majikan mengekalkan pekerja yang mana kerajaan akan membayar upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program tersebut dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, menerusi Belanjawan 2022, kerajaan akan melanjutkan pelaksanaan PSU 2.0 selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan.

Beliau berkata, program itu dilanjutkan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah.

“Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya. – MalaysiaGazette