Home Nasional Yadim gesa ABPBH dibatalkan, ganti program sesuai

Yadim gesa ABPBH dibatalkan, ganti program sesuai

Wakil Yadim dan Ummah menyerahkan surat kepada Mohamad Iqbal Mahashim.

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menggesa penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang dijadualkan diadakan pada 13 November ini dibatalkan dan diganti dengan rancangan yang lebih sesuai pada saat negara berusaha keras mengawal penularan Covid-19.

Menurutnya, YADIM menerima banyak pandangan dan respons yang menggesa agar program berbentuk hiburan ketika ini tidak diutamakan pihak berkuasa.

Oleh itu, pembatalan majlis anugerah itu melambangkan ketegasan kerajaan membendung penularan Covid-19 dengan tidak membenarkan sebarang perhimpunan besar besaran.

Surat berhubung pembatalan itu telah diserahkan kepada Pegawai Tugas Tugas Khas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohamad Iqbal Mahashim oleh Pengarah Kanan di Pejabat Yang Dipertua Yadim, Mohd Zai Mustafa.

Turut sama ialah Penolong Setiausaha Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Saifullah Baiduri dan Setiausaha Ummah Melaka merangkap Pegawai Khas Pengerusi Ummah Pusat, Samsul Bahrin Mohd Saad yang juga menghantar surat bantahan mereka.

Terdahulu pada hari yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Dr Zulkifli Mohd Al Bakri telah mengunjungi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Saifuddin Abdullah bagi berkongsi beberapa buah fikiran dan pandangan beliau berhubung penganjuran program hiburan yang tular kebelakangan ini.

Dr Zulkifli antara lain menjelaskan pendirian Islam yang tidak menolak sebarang bentuk hiburan yang tidak bertentangan dengan agama.

Hiburan yang tidak berlebihan, apatah lagi dalam kaedah psikoterapi yang menerapkan elemen agama, adalah satu bentuk pendekatan yang amat baik. – MalaysiaGazette