KUALA LUMPUR – Lebih 22 gabungan badan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa menyiasat Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing kerana didakwa cuba menghasut untuk memburukkan nama penjawat awam.
Bagi tujuan itu satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini meminta supaya siasatan dilakukan secara terperinci tanpa prejudis terhadap ahli Parlimen terbabit.
Presiden Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, siasatan perlu dilakukan ke atas King Sing ekoran tindakannya yang telah memperlekeh seorang penjawat awam yang memegang jawatan tinggi dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, ahli Parlimen terbabit sepatutnya tidak mengheret Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di dalam Dewan Rakyat ekoran beliau tidak boleh membela dirinya apabila dituduh sebagai seorang yang “takut mati”.
“Ahli Parlimen itu tidak boleh memperlekeh Ketua Pengarah Kesihatan yang telah banyak berjasa dalam menangani penularan wabak Covid-19 di dalam perbahasannya di Dewan Rakyat.
“Perbuatannya itu sememangnya telah menghina seorang penjawat awam kerana sepatutnya pertanyaan diajukan kepada Menteri Kesihatan dan bukan dituju kepada Ketua Pengarah Kesihatan.
“Apa dia (King Sing) tidak tahu ke yang DG tidak boleh menjawab persoalannya itu. Saya anggap perbuatannnya itu sebagai satu tindakan yang sangat biadab dan mahu siasatan dilakukan terhadapnya kerana apa yang disebut seolah-olah cuba menghasut ekoran ia berlaku di dalam sidang Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan.
Bagi Pengerusi Pertubuhan Insan Prihatin Kuala Lumpur, Datuk Mohd Noor Ali Akbar pula, beliau mendesak supaya King Sing menarik balik perkataan “tidak takut mati” sebagaimana yang diucapkannya di Dewan Rakyat serta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Dr Noor Hisham.
Katanya, perkataan yang terpacul daripada mulut King Sing itu boleh membawa ganbaran yang tidak baik teradap seorang ketua pengarah yang telah memperjudikan nyawanya sendiri demi kepentingan rakyat terbanyak.
“Semalam juga Dr Noor Hisham ada menyatakan bahawa dia sendiri tidak takut mati kerana mati itu boleh datang bila-bila masa.
“Sepatutnya sebagai seorang wakil rakyat, dia (King Sing) kenalah berfikir terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan lebih-lebih lagi kepada seorang yang tidak boleh menjawab apa yang diperkatakan.
“Itu (Dewan Rakyat) bukan tempat untuk Tan Sri Noor Hisham menjawab kerana dia bukan ahli politik. Ahli Parlimen itu sebenarnya faham atau tidak,” soal beliau.
Ketika ditanya mengenai alasan King Sing bahawa persoalan yang dilemparkan ke atas Noor Hisham adalah rungutan daripada barisan hadapan yang ditemui, Mohd Noor berkata, walau apa pun alasan diberi, tuduhan terhadap Ketua Pengarah Kesihatan sebagaimana yang diperkatakan adalah tidak wajar dan bersifat mengahasut.
Sementara itu, Timbalan Presiden Otai Reformis, Mustapa Mansor menegaskan, apa yang berlaku merupakan satu kelemahan oleh seorang wakil rakyat yang dipilih daripada sebuah kerajaan yang terbina tanpa majoriti kuat.
Katanya, sikap yang ditunjukkan oleh ahli Parlimen terbabit hanya mahu memperlihatkan dirinya seperti seorang gangster dengan mengambil polulariti daripada seorang penjawat awam yang telah banyak berjaya kepada masyarakat dan tanah air.
“Saya fikir perkara seperti ini haruslah dihentikan kerana ia boleh menyebabkan timbulnya suasana tidak harmoni.
“Polis perlu segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen terbabit agar ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” ujarnya.
Semalam, sidang Dewan Rakyat tegang apabila King Sing membangkitkan isu mengenai Ketua Pengarah Kesihatan yang tidak turun padang dan hanya membuat sidang akhbar harian untuk mendapatkan publisiti.
Perkara yang dibangkitkan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli Parlimen di blok pembangkang hingga menyebabkan Ahli Parlimen Jelutong, S N Rayer mencelah beberapa kali menggesa agar King Sing menarik balik perkataan yang dilafazkan serta membuat permohonan maaf.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said mengarahkan beliau supaya keluar dewan selepas enggan akur arahannya. – MalaysiaGazette