KUALA LUMPUR – Polis menahan semula 25 ahli geng ‘TCB 21’ disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah serius sekitar Banting dan Dengkil, Selangor mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.
Beliau berkata, dalam operasi pada 13 dan 14 Okt lepas, 29 anggota kumpulan jenayah terancang itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan serta Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan, kerana dipercayai terlibat dengan kes tembak ahli perniagaan dan pengawal peribadinya di Banting, pada 25 Sept.
Katanya, selain 25 yang ditahan semula, dua lagi ahli geng TCB 21 yang ditahan pada Oktober lepas telah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 manakala dua lagi telah dibebaskan.
Menurutnya, penahanan semula itu dilakukan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan dan aktiviti kumpulan itu dapat dibanteras sepenuhnya.
“Siasatan mendapati geng TCB 21 adalah pertubuhan kongsi gelap haram yang aktif melakukan jenayah serius seperti cubaan bunuh menggunakan senjata api, merompak, melakukan khianat dengan api, pemerasan dan lain-lain,” katanya.