Home Nasional GPMS anggap UMANY bacul

GPMS anggap UMANY bacul

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berpendapat kenyataan maaf University of Malaya Association of New Youth (UMANY) dan tindakan mereka menarik balik kenyataan mereka sebagai bacul.

Tindakan itui seolah-olah seperti ‘baling batu sembunyi tangan’, kata Presiden GPMS, Mohd. Alif Anas Md Noor.

“Beberapa kali UMANY bertidak melampaui batas dan biadab. Sudah sampai masanya tindakan seperti ini dihentikan melalui amalan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd, Alif, UMANY dilihat cuba mengalihkan pandangan masyarakat bahawa mereka adalah golongan yang ditindas apabila menuduh pihak Polis Diraja Malaysia menyalahgunakan kuasa dan bertindak melampaui hak asasi manusia.

“Ini adalah tindakan bacul dan sekali lagi mencabar prinsip kedaulatan undang-undang di dalam negara kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, GPMS bertegas tidak akan menarik balik laporan polis yang telah dibuat oleh semua cawangan dan ahli GPMS seluruh negara bersama-sama rakan-rakan NGO.

“Kami juga menyeru pihak polis agar tidak tunduk dengan permintaan daif UMANY supaya pihak polis menghentikan siasatan. Siapa UMANY untuk menentukan gerak kerja dan siasatan pihak polis?” soalnya.

GPMS juga mengulangi UMANY perlu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimeda 1998 kerana menyebar kebencian terhadap Yang Dipertuan Agong.

“Jika tindakan tidak diambil oleh pihak berkuasa, GPMS bimbang lebih ramai individu mahupun kumpulan-kumpulan pelampau seperti UMANY akan membuat kenyataan-kenyataan yang menghina dan mempersenda isu-isu sensitif seperti ini,” katanya.

Menurutnya, GPMS juga telah menghantar surat rasmi kepada Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya pada 2 November lalu supaya pihak Universiti Malaya mengambil tindakan mengharamkan UMANY sebagai sebuah persatuan mahasiswa di Universiti tersebut.

“GPMS merasakan bahawa tidak perlu ada persatuan pelampau yang mampu merosakkan akal waras mahasiswa dan tidak beradab. Kerana ianya jelas bertentangan dengan prinsip kelima didalam rukun negara yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat selama ini,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

UMANY mohon ampun daripada Agong, tuntut polis henti segala siasatan