Home Akhbar Cina Jangkitan di Pelabuhan Klang bimbangkan peniaga

Jangkitan di Pelabuhan Klang bimbangkan peniaga

Suasana di sekitar Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone.

KLANG – Jangkitan COVID-19 yang menghampiri Pelabuhan Klang telah menimbulkan kebimbangan kemungkinan ia akan menjejaskan aktiviti perkapalan dan logistik seluruh negara.

Westport dilaporkan dalam keadaan berisiko kerana Kluster Perigi yang dilaporkan di Klang pada Isnin dipercayai adalah berlaku di Pulau Indah yang juga menempatkan salah satu taman perindustrian terbesar Selangor.

China Press melaporkan, kes kebanyakannya melibatkan pekerja asing yang duduk secara beramai-ramai.

Kepadatan di tempat tinggal pekerja asing dikhuatiri memudahkan jangkitan, malahan menyebabkan wabak tersebar ke pelabuhan, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan seluruh negara.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pelabuhan Klang, Sim Keng Hua berkata,  kawasan yang melaporkan kes jangkitan adalah sangat berhampiran dengan Northport dan Westport, kedua-duanya merupakan nadi ekonomi negara.

Beliau justeru berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas untuk mencegah penularan COVID-19 ke kawasan pelabuhan.

“Kami memang bimbang kerana dua pelabuhan ini melibatkan 40 peratus logistik seluruh Malaysia.

“Sekiranya berlaku kes jangkitan, ia mungkin menjejaskan, malahan melumpuhkan aktiviti pelabuhan,” katanya.

Menurutnya, walaupun aktiviti pelabuhan diteruskan, kekurangan tenaga mungkin berlaku jika terdapat kes jangkitan dan ia akan melambatkan proses penghantaran.

“Jika berlaku wabak, pemandu lori mungkin takut untuk memasuki pelabuhan sehingga menyebabkan penghantaran terganggu,” katanya.

Sementara itu, Pelabuhan Klang dilaporkan sudah melarang pekerja kontraktor yang dikaitkan dengan mana-mana kluster jangkitan daripada memasuki kawasan pelabuhan bagi mencegah penularan wabak. – MalaysiaGazette