KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Lembah Klang sejak 14 Oktober 2020 dan dilanjutkan hingga 6 Disember 2020 di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia kemungkinan besar memberi kesan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku keempat tahun ini.
Walaupun ini dijangka memberi kesan kepada permintaan pengguna khususnya berkaitan peruncitan, makanan dan minuman, penginapan dan hospitaliti serta pengangkutan – inisiatif di bawah Penjana dan Kita Prihatin seperti Subsidi Upah, Insentif Pengambilan dan Peningkatan Kemahiran Pekerja dan banyak lagi akan berterusan sehingga hujung 2020 akan mengurangkan impak daripada pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kerajaan juga akan terus peka tentang perlunya memastikan golongan rentan dan golongan rentan baharu terus dijaga, dan memastikan perniagaan, khususnya PKS dan PKS mikro betul-betul disokong, kata Menteri Kewangan.
Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan tetap fokus kepada Strategi 6R (Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalise dan Reform) untuk memulihkan ekonomi, terutama tatkala kita semakin hampir di ambang 2021.
Unjuran peningkatan permintaan global, persekitaran kadar faedah yang lebih rendah, peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta, serta pelbagai dasar kerajaan akan menyokong pencapaian matlamat ini.
Menurutnya, kunci pemulihan ini adalah Belanjawan 2021 yang baru dibentangkan, mengandungi langkah-langkah komprehensif untuk memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.
”Pelbagai langkah jangka pendek dan sederhana digubal untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan dan memastikan sektor-sektor tertentu mengekalkan kapasiti sedia ada.
”Seterusnya, langkah jangka panjang akan meletakkan batu asas untuk daya tahan dan pertumbuhan masa depan, seperti meningkatkan kesalinghubungan digital dan fizikal, serta melabur dalam pendidikan dan juga prinsip kelestarian.
”Selain pendekatan yang lebih bersasar, kerajaan juga bertujuan untuk mengimbangi matlamat perbelanjaan dan disiplin fiskal; mengurangkan jurang pembangunan desa-bandar, dan menjunjung tinggi nilai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 melalui Belanjawan 2021,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas prestasi KDNK suku ketiga yang menguncup 2.7% tahun-ke-tahun – pada kadar yang jauh lebih perlahan berbanding penurunan dua angka sebanyak 17.1% pada suku kedua.
Ini menunjukkan pemulihan ekonomi yang kukuh yang
juga dapat dilihat melalui prestasi ekonomi bulanan pada suku ketiga (Julai: -2.7%; Ogos: -3.6%; September: -1.6%).
Tambahnya, walaupun KDNK negara dijangka mencatat penguncupan sebanyak 4.5% untuk tahun 2020, ia dijangka pulih pada kadar 6.5% – 7.5% pada tahun 2021, lebih kurang selaras dengan ramalan oleh Bank Dunia (6.3%), S&P (7.5%) dan Moody’s (>7.0%).
Selagi vaksin Covid-19 masih belum tersedia secara komersial, kerajaan optimis namun tetap berwaspada dan komited untuk memastikan ruang fiskal yang mencukupi untuk menangani cabaran di masa
hadapan.
”Asas sistem ekonomi dan kewangan Malaysia tetap kukuh. Telah berulang kali, negara kita membuktikan daya tahannya dalam menghadapi ketidakstabilan dan kesukaran dari faktor luaran.
”Meskipun menghadapi berbagai cabaran, kerajaan akan terus menyokong rakyat, perniagaan dan pasaran negara untuk memastikan ekonomi kita akan melonjak semula apabila ekonomi global memulih pada tahun 202,” kata Menteri Kewangan. – MalaysiaGazette