Home Utama Sindiket penipuan SMS: SPRM dapat kebenaran reman 6 lagi individu

Sindiket penipuan SMS: SPRM dapat kebenaran reman 6 lagi individu

Empat dari enam individu diiring Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjalan keluar selepas mendapat reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS) di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendapat kebenaran Mahkamah Majistret di sini untuk mereman enam lagi individu berhubung kes rasuah membabitkan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS).

Lima lelaki dan seorang wanita itu direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 November depan bagi membantu siasatan.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membuat keputusan itu di hadapan keenam-enam individu berkenaan.

Semalam, dua individu termasuk ketua pegawai teknologi sebuah syarikat ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Individu berusia 39 dan 47 tahun itu ditahan bermula 2.30 petang semalam, selepas kedua-duanya memberi keterangan.

Kedua-dua individu itu sudah dikenakan perintah reman sehingga 16 November depan.

Dua dari enam individu diiring Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjalan keluar selepas mendapat reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS) di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2020.

Pada Rabu lalu, seorang pegawai sebuah syarikat telekomunikasi direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah.

Lelaki berusia 49 tahun itu dipercayai menerima rasuah berjumlah RM300,000 secara berperingkat-peringkat melalui akaun peribadinya daripada sebuah syarikat, sebagai balasan bagi mendapatkan senarai nombor telefon pelanggan yang menggunakan pelan prabayar dari 2017 hingga sekarang.

Sebelum itu, tiga pengarah syarikat termasuk dua bergelar Datuk direman lima hari kerana disyaki memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit kepada pegawai syarikat telekomunikasi.

Sehingga hari ini, sejumlah 12 individu telah direman bagi siasatan itu.

Ia dilakukan bagi mendapatkan nombor telefon pelanggan bagi tujuan penipuan SMS.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Diharap pihak Peguam Negara dapat menyediakan pasukan pendakwaan terbaik untuk memastikan kesemua pengkhianat2 yang menyalahgunakan data2 peribadi pengguna ini dipenjarakan!

    Syarikat2 yang gagal memastikan keselamatan data pengguna juga wajib dibawa kemuka pengadilan dan dihukum penjara!

Comments are closed.