KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak pernah membenarkan warga kota membuka gerai sesuka hati di seluruh bandar raya termasuk di Jalan Parlimen.
Sebaliknya Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu menjelaskan, kebenaran itu masih tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bagaimanapun hanya beberapa kawasan yang dijadikan tempatan larangan berniaga seperti jalan-jalan protokol dan kawasan keselamatan.
“Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kata saya kononnya nak jadikan Kuala Lumpur ini macam Ketereh, semua orang boleh buka gerai, Jalan Parlimen pun buka gerai, itu dia cakap sendiri.
“Siapa cakap boleh buka gerai di Jalan Parlimen, jalan-jalan protokol tak boleh buka gerai.
“Kawasan-kawasan keselamatan tak boleh buka gerai, itu bandaraya (DBKL) ada garis panduannya,” katanya pada sidang media di Kampung Baru, hari ini.
Terdahulu Annuar menyerahkan sumbangan kepada 76 keluarga mangsa banjir kilat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Serbaguna Kampong Bharu, Kampung Baru, di sini.
Sumbangan berjumlah RM198, 200 itu merupakan sumbangan peribadi daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ini termasuklah sumbangan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Khamis lalu, Teresa mempersoalkan keputusan Annuar memberi kebenaran kepada warga kota membuka gerai atau perniagaan kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai.
Dakwa Teresa, langkah itu seolah-olah mahu menjadikan Wilayah Persekutuan (WP) seperti kawasan Parlimen Ketereh yang diwakili menteri itu dengan membenarkan peniaga bebas berniaga di mana-mana.
Annuar juga menegaskan apabila beliau memberi kebenaran itu, tidak bermakna WP Kuala Lumpur bebas daripada undang-undang berniaga
“Pelbagai undang-undang yang ada mengenai penjaja, mengenai kesihatan, mengenai perancangan, undang-undang kekal.
“Bukan bermakna saya kata Wilayah bebas berniaga, maka undang-undang semua gantung dulu, tidak begitu
“Bila seorang ahli Parlimen dia bercakap begitu, dalam masa perbahasan, rugilah masa dan menjatuhkan standard kita sebagai ahli Parlimen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette