Home Sukan Jurulatih, pemain ‘tangisi’ pembatalan Piala Malaysia

Jurulatih, pemain ‘tangisi’ pembatalan Piala Malaysia

Mehmet Durakovic.

KUALA LUMPUR – Jurulatih dan pemain meluahkan rasa sedih terhadap pembatalan TM Piala Malaysia 2020 namun akur dengan keputusan Malaysian Football League (MFL) sejajar dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah menolak rayuan bagi meneruskan kejohanan itu pada Rabu.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengakui sedikit terkejut dengan keputusan itu tetapi dalam masa sama memahami kepentingan kesihatan awam perlu diutamakan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dihentikan.

“Piala Malaysia adalah kejohanan paling berprestiji di negara malah tertua di Asia Tenggara serta terlalu banyak sejarah yang kita boleh perkatakan.

“Seingat saya Piala Malaysia kali terakhir dihentikan pada 1947 dulu dan apabila dibatalkan pada tahun ini, rasanya memang sukar dipercayai serta diterima oleh semua warga bola sepak.

“Begitu juga dengan Perak, bukan mudah untuk melupakan Piala Malaysia pada musim ini selepas kami telah berjaya layak ke suku akhir tetapi kita semua perlu menerima keputusan tersebut.

“Apa pun kesihatan pemain serta pegawai perlu diutamakan dahulu dan kerajaan lebih tahu apa yang terjadi sebenarnya sehingga membuat keputusan ini,maka kita semua perlu sama-sama patuh dan ikuti arahan dikeluarkan,” katanya kepada MFL.

Pemain Kuala Lumpur, Paulo Josue Strumer (kiri) menanduk bola keluar sambil diasak pemain Terengganu FC, Lee Andrew Tuck pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 diantara pasukan Kuala Lumpur menentang Terengganu FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2019

Sementara itu, pemain import Terengganu, Lee Tuck juga berkongsi perasaan sedihnya yang mengakui sudah meletakkan matlamat mahu mendapatkan satu trofi buat pasukannya pada musim ini.

Bagaimanapun, perkhabaran slot ke Piala AFC 2021 buat Terengganu FC sedikit sebanyak memberikan penawar buat Lee Tuck selepas tiga musim bersama skuad dari Pantai Timur itu di Liga Malaysia.

“Sebagai pemain, sudah tentu terkilan kerana kami telah melakukan persiapan yang cukup rapi tambahan saya rasa musim ini Terengganu FC mempunyai peluang untuk memenangi trofi Piala Malaysia.

“Saya yakin bukan sahaja pemain tetapi pengawai, peminat dan penaja juga berasa sedih dengan pembatalan Piala Malaysia kerana tidak menjangka situasi ini berlaku tetapi kita semua tiada pilihan untuk menerima keputusan dikeluarkan.

“Mengenai aksi di Piala AFC pada musim depan, saya memang berbangga kerana setelah lama bersama dengan pasukan, perkara ini menunjukkan perkembangan yang semakin meningkat buat Terengganu.

“Diharapkan kontrak saya bersama pasukan dapat disambung dan bersama pemain lain, kami harap dapat tunjukkan kemampuan Terengganu di pentas lebih tinggi, ” katanya.

MFL telah mencapai kata sepakat untuk mengumumkan pembatalan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berkuatkuasa kelmarin melalui satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu telah ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, MFL harus akur dengan keputusan terbaharu daripada MKN di mana pihak kerajaan tidak membenarkan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berlangsung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

Nidzam Adzha Yusoff
Nidzam Adzha Yusoff

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusof, juga seakan tidak percaya dengan pembatalan TM Piala Malaysia selepas pasukannya sudah memberikan fokus terhadap pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan suku akhir.

Selepas tiada lagi sebarang aksi bola sepak pada musim ini, Nidzam cuma mengharapkan segala-galanya akan kembali berjalan seperti biasa pada 2021 agar pertumbuhan liga tempatan tidak terbantut.

“ Sejak saya menjadi jurulatih sejak 2005, saya rasa ini adalah pengalaman paling pahit apabila Piala Malaysia dibatalkan dan rasanya semua orang pasti kecewa terhadap apa yang terjadi.

“ Apa yang saya harapkan hanya satu, musim 2021 kita akan kembali merasai musim bola sepak yang kita rindukan selama ini iaitu semua pertandingan mampu dijalankan selain kehadiran penonton, ” katanya. – MalaysiaGazette