Home Nasional KKM sentiasa pantau perkembangan makmal ujian RT-PCR di Sabah

KKM sentiasa pantau perkembangan makmal ujian RT-PCR di Sabah

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bergambar bersama kakitangan KKM semasa melawat Sabah baru-baru ini.-FB Noor Hisham.

KUALA LUMPUR – Kesiapsiagaan makmal kesihatan awam Kota Kinabalu Sabah sentiasa dipantau dalam mempertingkatkan keupayaan makmal melaksanakan ujian RT-PCR kepada 2,500 ujian sehari, kat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini termasuk lawatan kerjanya sendiri, selain usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melaksanakan libat urus dengan ketua jabatan dan pakar perubatan serta kesihatan awam melalui persidangan maya, bagi membincangkan perkembangan terkini kesihatan di negeri tersebut.

“Pada penghujung Ogos 2020 saya berada di Sabah. Saya juga sempat melibat urus dengan warga makmal dan petugas kesihatan di lapangan untuk mendengar sendiri segala isu dan cabaran terkini.

“Timbalan saya Datuk Dr Chong Chee Keong turut turun padang melihat sendiri perkhidmatan kesihatan awam baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, timbalannya itu masih menjalani tempoh kuarantin 14 hari sejurus tiba dari Sabah.

Dilapor, Sabah mencatatkan sebanyak 556 kes positif Covid-19 semalam. – MalaysiaGazette

+ posts