Home Seni Hidup Penganjur ABPBH kesal Shaheizy gantung vape di leher

Penganjur ABPBH kesal Shaheizy gantung vape di leher

Facebook Public Health Malaysia.

KUALA LUMPUR – Penganjur Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 amat kesal dengan penampilan pelakon, Shaheizy Sam menggantung rokok elektronik (e-rokok) atau vape pada leher ketika mengumumkan pemenang bagi tiga kategori acara itu, malam tadi.

Penganjur ABPBH 33, iaitu BH dan TV3 menjelaskan, semua artis diberi penerangan mengenai tata susila dan etika berpakaian bukan sahaja ketika menghadiri majlis berprestij seperti ABPBH, malah semua penyampai trofi.

“Tidak kira apa alasan yang diberikan, Sam yang pernah memenangi gelaran Bintang Paling Popular ABPBH sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 2010, 2012 dan 2014 dan sebagai artis berpengalaman, sepatutnya lebih peka dalam menghormati pihak penganjur, artis-artis lain dan industri hiburan serta penonton di rumah.

“Penganjur sudah berkerja keras untuk memastikan acara lancar serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), malangnya insiden ini mencalarkan kredibiliti ABPBH 33,” katanya.

Kenyataan itu menambah, perkara itu amat dikesali penganjur ABPBH 33.

Malam tadi, Sam mengumumkan pemenang bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular, Artis Baharu Lelaki Popular serta Artis Kolaborasi/Duet/Berkumpulan Popular.

Sejurus lepas itu, Facebook Public Health menerusi hantaranya meluahkan rasa sedih melihat budaya buruk itu dipromosikan dan kesal tidak ada ahli produksi yang boleh menyaring penampilan selebriti sebelum live di kaca tv. – MalaysiaGazette