Home Ekonomi Belanjawan 2021 mampu pacu 4 peratus KDNK

Belanjawan 2021 mampu pacu 4 peratus KDNK

Tangku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM69 bilion yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 mampu menjana kesan positif sebanyak empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Ketika diminta menjawab dakwaan sesetengah pihak bahawa unjuran KDNK sebanyak 6.5 peratus-7.5 peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 adalah tidak realistik, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, Malaysia membuat jangkaan berkenaan berdasarkan beberapa andaian.

Antaranya pengkomersialan vaksin Covid-19 adalah lebih cepat selain ramalan ekonomi global yang dijangka pulih pada separuh pertama tahun depan.

Pemulihan ekonomi global pastinya akan memberi manfaat langsung kepada Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, jelasnya.

“Kedua, kita mesti ingat, kita bermula dengan asas yang lebih rendah iaitu negatif (penguncupan ekonomi). Jadi unjurannya akan menjadi tinggi.

“Lebih rendah atau negatif prestasi (KDNK)  pada tahun ini maka lebih tinggi prestasi pada tahun depan kerana asas yang lebih rendah.

“Belanjawan 2021 itu sendiri mampu memacu prestasi KDNK sebanyak empat peratus.

“Tetapi kita tidak mengatakan ekonomi Malaysia akan mendapat semula trajektori sebelum ini,” katanya semasa taklimat media di sini hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, Malaysia tidak bersendirian di dalam membuat unjuran sedemikian.

Menyentuh mengenai KDNK pada suku ketiga, beliau berkata, prestasi ekonomi Malaysia meskipun masih menguncup namun lebih baik daripada negara-negara Asia Tenggara yang lain.

“Penguncupan 2.7 peratus pada suku ketiga ini sebenarnya adalah lebih baik berbanding negara-negara lain di rantau ini seperti Singapura (-7%), Indonesia (-3.5%), Filipina (-11.5%).

“Negara-negara maju juga mengalami penguncupan seperti di zon Eropah iaitu -4.3% manakala Amerika Syarikat (-2.9%),” katanya lagi.

Jelasnya, prestasi itu menunjukkan pemulihan ekonomi negara adalah selras dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada Mei lalu.- MalaysiaGazette