Home Utama Kenyataan DG takut mati: Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf

Kenyataan DG takut mati: Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf

Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham tidak turun padang hari ini memohon maaf terhadap kenyataannya di Parlimen sebelum ini.

King Sing membuat permohonan maaf itu bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat lancar dan demi kepentingan serta keharmonian negara.

“Saya membuat permohonan maaf ada keterlanjuran kata saya kompilasi perbahasan Belanjawan 2021.

“Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, frontliners termasuk Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

King Sing yang popular dengan ungkapan ‘Kong Kali Kong’ itu berkata, beliau tidak berniat untuk mempersoalkan kredibiliti Noor Hisham.

“Saya hanya berniat untuk membahas soal Covid-19 yang membimbangkan rakyat supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Saya tidak mahu kerana saya, seluruh masalah Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu,” katanya lagi.

Pada minggu lalu sidang Dewan Rakyat kecoh apabila King Sing menuduh Dr Noor Hisham takut mati.

“DG (Ketua Pengarah Kesihatan) hari-hari buat berita, bagi ‘Office Boy’ (budak pejabat) boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang… Macam di Kota Kinabalu, Sabah begitu teruk pandemik Covid-19.

“Kenapa dia tidak melawat setiap hospital, berbincang dan beri sokongan kepada frontliners. Jangan hantar doktor, jururawat saja pergi sebab itu orang (mereka) tidak takut mati, tapi DG takut mati,” katanya di Dewan Rakyat.

Ketika itu, King Sing memilih untuk menerangkan kenyataannya dan enggan menarik balik perkataan yang digunakan.

Disebabkan tindakan King Sing itu, Ahli Parlimen Jelutong, S N Rayer diperintahkan keluar Dewan Rakyat pada saat akhir sidang selepas enggan akur dengan arahan Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk duduk.

Rayer ketika itu mendesak agar King Sing menarik balik frasa ‘DG takut mati’ ketika beliau membangkitkan isu Ketua Pengarah Kesihatan tidak turun ke Sabah ketika pendemik Covid-19 melanda.

Insiden itu turut mendapat respon Dr Noor Hisham.

Pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noor Hisham secara lembut berkata: “Setiap yang bernyawa pasti merasai mati’, sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nya kami kembali”. – MalaysiaGazette