Home Nasional Muhyiddin perlu pilih KP atau King Sing, kata Guan Eng

Muhyiddin perlu pilih KP atau King Sing, kata Guan Eng

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pembangkang menggesa agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhenti bermain politik dalam krisis kesihatan melanda negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Muhyiddin perlu memilih antara dua iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ataupun Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing dalam memastikan pandemik Covid-19 dapat diatasi.

“Muhyiddin harus berhenti bermain politik dengan krisis kesihatan Covid-19 dengan memutuskan sama ada Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing atau Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham yang perlu mengambil tanggungjawab dan memberi akauntabiliti penuh terhadap krisis kesihatan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng antara pemimpin terbaharu yang mengutuk serangan King Sing terhadap peribadi dan kecekapan Dr Noor Hisham.

Katanya, tindakan tidak beretika itu tidak dapat diterima dan patut dikutuk atas dasar tiga prinsip.

“Yang pertama, Dr Noor Hisham mencari publisiti murahan dengan sidang media hariannya yang sebenarnya dapat dibaca oleh kerani pejabat Noor Hisham.

“Kedua, Dr Noor Hisham tidak berani turun ke padang di hotspot kluster COVID-10 kerana Noor Hisham “takut mati”.

“Ketiga, Dr Noor Hisham sedang mencari publisiti untuk menaikkan dirinya bagi mendapatkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), yang menurut Tiong, Noor Hisham tidak layak,” kata Ahli Parlimen Bagan itu lagi.

Guan Eng berkata, kerajaan tidak boleh mengetepikan kenyataan King Sing kerana beliau berjawatan dalam kerajaan.

Justeru itu katanya, Muhyiddin harus memilih antara tokoh melawan Covid-19 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa atau ahli politik dari Bintulu ini yang terkenal dengan bahasanya yang semacam dan keperibadian yang kasar.

“Kegagalan untuk mempertahankan penjawat awam yang menjalankan tugasnya adalah memalukan bagi Perdana Menteri apabila didorong oleh kepentingan politik.

“Ini telah menimbulkan spekulasi apakah Perdana Menteri takut untuk menegur Tiong kerana dia bimbang akan kehilangan seorang lagi ahli parlimen ketika kerajaannya telah kehilangan majoriti Parlimen yang tipis.

“Perdana Menteri begitu lemah sehingga dia takut untuk menyuruh Tiong melakukan perkara yang betul dengan menarik ucapannya dan meminta maaf kepada Noor Hisham,” desak Guan Eng.

Terbaharu, King Sing dalam kenyataan permohonan maaf berkata, langkah itu bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat lancar dan demi kepentingan serta keharmonian negara.

“Saya membuat permohonan maaf ada keterlanjuran kata saya kompilasi perbahasan Belanjawan 2021.

“Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, frontliners termasuk Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.