KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail antara bekas pemimpin yang banyak menyumbang idea kepada parti itu sebelum ini.
Pernah berkhidmat bersama-sama Zaleha, Najib berkata, bekas menteri itu seorang yang penyayang dan sentiasa membantu rakyat yang memerlukan.
“Saya pernah berkhidmat di Kabinet bersama Allahyarhamah yang merupakan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada ketika itu.
“Amat mengenali beliau. Antara pemimpin wanita yang disanjungi ramai dan banyak menyumbang idea kepada parti UMNO.
“Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” tulisnya di Facebook.
Zaleha, 84, meninggal dunia pada pukul 8.15 malam tadi kerana komplikasi kesihatan.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati hari ini pagi untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, di sini.
Zaleha pernah menjadi Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat pada 1995 hingga 1999.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili keseluruhan parti turut mengucapkan takziah.
“UMNO dan keluarga besarnya ucapkan takziah kpd keluarga Tan Sri Hajah Zaleha Ismail. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati jasa & sumbangannya kpd agama dan bangsa, menempatkan rohnya dlm kalangan yg beriman dan solihin,” katanya. – MalaysiaGazette