Home Nasional Allahyarham berperanan besar dalam mencorak perjalanan politik saya – Muhyiddin

Allahyarham berperanan besar dalam mencorak perjalanan politik saya – Muhyiddin

Selaku Setiausaha Politik, arwah telah memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan politik saya, jasa yang amat saya hargai hingga ke hari ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia, hari ini.

Muhyiddin berkata Allahyarham Hasbullah banyak memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan politiknya ketika menjawat jawatan Setiausaha Politik beliau.

“Saya mendapat perkhabaran mendukacitakan yang Datuk Hasbullah Osman, Ahli Parlimen Gerik, Perak, baru sahaja meninggal dunia.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang.

“Allahyarham ialah bekas Setiausaha Politik saya ketika saya menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Selaku Setiausaha Politik, arwah telah memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan politik saya, jasa yang amat saya hargai hingga ke hari ini,” katanya dalam ucapan takziah yang dimuatnaik di laman Facebook hari ini.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Raub kira-kira jam 6.40 petang tadi.

Hasbullah, 63, mengadu sakit dada dalam perjalanan ke Kuala Lipis untuk bertemu anak dan isterinya.

Muhyiddin berkata Allahyarham banyak membangkitkan hal-hal berkaitan kepentingan rakyat di Parlimen sepanjang memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Gerik.

“Bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti Allahyarham sepanjang bergelar wakil rakyat dan juga selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Semoga amalan baik Allahyarham diterima Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Amin,” ucap beliau.

Allahyarham Hasbullah meninggal dunia akibat serangan jantung. – MalaysiaGazette