Home Nasional Dua pekerja maut selepas lori sampah berlanggar dengan lori tanah

Dua pekerja maut selepas lori sampah berlanggar dengan lori tanah

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Dua pekerja maut selepas tercampak keluar daripada lori sampah dinaiki mereka yang berlanggar dengan sebuah lori tanah di Jalan Meru Tambahan, Klang kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shari’at berkata mangsa yang maut akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dikenali sebagai Effendi Salleh, 30, dan warga Bangladesh Mofij Ullah, 41.

Beliau berkata pemandu lori sampah berusia 45 tahun, dan seorang lagi penumpangnya juga pekerja  warga Bangladesh berumur 47 tahun dan pemandu lori tanah berusia 38 tahun pula mengalami kecederaan ringan pada badan serta kepala.

Azman berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila lori sampah berkenaan yang datang dari susur keluar Jalan Bukit Cerakah melanggar lori tanah itu di Jalan Meru Tambahan ketika kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan ke Pekan Meru.

“Kemalangan itu berlaku selepas simpang empat berlampu isyarat di Jalan Meru Tambahan. Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa tercampak keluar daripada tempat penumpang lori sampah  berkenaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Punca sebenar kemalangan dipercayai kerana lori sampah itu mengalami masalah brek. Akibat pelanggaran berkenaan, lori sampah tersebut remuk pada bahagian depan sebelah kanan manakala lori tanah pula kemek pada bahagian depan sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mana-mana saksi kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes Insp Abdul ‘Azim Mazlan di talian 013-4146144 untuk membantu siasatan, katanya.

— BERNAMA