TOKYO – Harga minyak naik pada awal dagangan Asia hari ini, mengatasi beberapa kerugian daripada sesi sebelumnya kerana berharap OPEC + akan terus mengekang pengeluaran bagi mengimbangi kebimbangan permintaan bahan bakar yang lemah di tengah-tengah kenaikan kes Covid-19 dan pengeluaran lebih tinggi oleh Libya.
Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk Januari LCOc1 meningkat AS$0.27atau 0.6%, kepada AS$ 43.05 setong pada 0043 GMT sementara minyak mentah Amerika Syarikat (AS) West Texas Intermediate untuk Disember CLc1 diniagakan kepada AS$ 40.48 setong, naik AS0.35 atau 0.9%.
Kedua-dua kontrak memperoleh lebih daripada 8% minggu lalu dengan harapan adanya vaksin Covid-19 dan menaruh harapan Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya termasuk Rusia akan mengekalkan pengeluaran lebih rendah tahun depan untuk menyokong harga.
Kumpulan itu, juga dikenal sebagai OPEC +, telah mengurangkan pengeluaran sekitar 7,7 juta tong sehari, dengan kadar pematuhan pada 101% pada bulan Oktober dan telah merancang untuk meningkatkan output sebanyak 2 juta tong sehari dari bulan Januari.
OPEC + akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa menteri pada hari Selasa yang boleh mengesyorkan perubahan pada kuota pengeluaran ketika semua menteri bertemu pada 30 November dan 1 Disember ini.
Walau bagaimanapun, pemulihan pengeluaran minyak yang cepat di Libya, anggota OPEC, kembali ke paras melebihi 1.2 juta tong sehari memberi cabaran kepada pengurangan OPEC+, sementara pengurangan kadar lalu lintas di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat menjejaskan pemulihan permintaan bahan bakar pada musim sejuk ini.
“Trafik di Eropah menyusut hampir 50% dalam beberapa minggu di negera-negara tertentu (seperti Perancis) kerana langkah sekatan pergerakan dilaksanakan,” kata ANZ Bank.
Tambah bank itu, pergerakan orang ramai di atas jalan di AS juga perlahan berdasarkan data jarak laluan kenderaan walaupun pihak berkuasa enggan melaksanakan sekatan baharu.
Ketika permintaan bahan bakar semakin perlahan, data Baker Hughes pula menunjukkan jumlah pelantar minyak dan gas asli AS meningkat minggu lalu ke paras tertinggi sejak Mei kerana didorong oleh kenaikan harga minyak mentah.
Penganalisis ANZ menjangkakan lebihan minyak meningkat antara 1.5 juta hingga 3 juta setong sehari pada separuh pertama tahun depan.
Keberadaan vaksin akan hanya meningkatkan permintaan pada separuh kedua. – MalaysiaGazette