KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih baharu pasukan utama Gergasi Merah bagi menggantikan B. Sathiananthan yang meninggalkan posisi tersebut pada September lalu.
Pengendali dari Jerman yang berusia 52 tahun itu tiba di Malaysia pada pertengahan bulan lalu dan selesai menjalani proses kuarantin yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada awal minggu lalu.
Karsten yang pernah bermain untuk pasukan Bundesliga, Freiburg turut menjadi pembantu ketua jurulatih kelab tersebut selepas beliau menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.
Sebelum tiba di Pusat Latihan FAS Training Centre, beliau merupakan pengurus kelab divisyen 4 Jerman, RW Essen dan kemudian menjadi penasihat klab tersebut.
Karsten juga pernah berkhidmat sebagai pembantu ketua jurulatih di Liga Jepun (JLeague) bersama pasukan Urawa Reds.
Beliau berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang kejurulatihan dan menguruskan pasukan VFL Bochum, SV Elversberg selain membantu pasukan Holstein Kiel untuk naik ke divisyen 2 liga Jerman.
Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner berpendapat Karsten merupakan individu yang tepat untuk membawa Selangor ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pertamanya, saya cukup mengenali Karsten kerana beliau merupakan bekas pemain saya. Beliau pernah bermain sebagai pemain tengah dan bermain untuk pasukan saya di divisyen kedua Jerman sebelum beraksi di Bundesliga. Karsten merupakan pemain yang hebat.
“Jadi, adalah cukup bagus jika kami (pihak pengurusan FAS) dan saya selaku Pengarah Teknikal untuk melantik seseorang yang saya kenal sebagai ketua jurulatih.
“Beliau mempunyai sikap yang bagus, beliau bekerja keras dan mahu membuktikan kemampuannya di Asia. Jadi, saya fikir beliau akan cukup bermotivasi untuk menguruskan pasukan Selangor di Malaysia,” kata FAS dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Michael menambah, Karsten juga berkebolehan mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan untuk pasukan utama Selangor.
“Ia adalah keutamaan kami untuk melahirkan pemain kita sendiri untuk bermain di Liga Super. Jadi, kita memerlukan ketua jurulatih yang bersifat terbuka untuk menggunakan pemain muda.
“Kadang-kala, ia sukar untuk seorang jurulatih mempercayai pemain muda kerana mereka cenderung untuk melakukan kesilapan, tetapi Karsten adalah jurulatih yang berani. Jika beliau dapat melihat kualiti dan kemampuan seseorang pemain muda, beliau akan memberikan mereka peluang.”
“Kita ingin membina pasukan terbaik di Malaysia, dan kita perlu melakukakannya dengan cara kita yang tersendiri. Kita mungkin tidak dapat menarik minat pemain terbaik untuk bermain untuk Selangor, tetapi kita boleh cuba untuk mencipta sebuah pasukan terbaik melalui gaya permainan dan program pembangunan kita,” ujarnya.
Bercakap kepada unit Media FAS, Karsten mengakui adalah penting beliau mengembalikan keyakinan penyokong Gergasi Merah.
“Sudah tentu ia cukup bagus jika saya dapat meyakinkan semua orang di kelab ini dengan memenangi perlawanan. Sejak beberapa minggu lalu, pasukan ini telah memberikan bayangan yang sangat bagus.”
“Saya mempunyai keyakinan (dengan pasukan utama). Saya telah menonton banyak perlawanan pasukan ini dan saya fikir kita mempunyai pasukan yang mempunyai kualiti yang baik,” katanya.
Karsten juga menaruh kepercayaan tinggi kepada pemain-pemain muda selain akan memberikan mereka layanan dan peluang yang sama dengan pemain-pemain lain yang lebih senior.
“Saya juga sempat menonton beberapa pasukan Selangor 2. Mereka mempunyai potensi yang bagus. Contohnya Aliff (Haiqal), (Ahmad) Zikri, Afro (Nazeem) dan (Ahmad) Danial sebagai penyerang. Mereka merupakan pemain yang bagus, tetapi saya tidak mahu memberikan mereka tekanan. Saya akan terus menyokong pemain-pemain muda seperti mana saya menyokong pemain senior mereka,” katanya.
Karsten memberitu, beliau tidak sabar bertemu penyokong Selangor dan sempat memberikan pesanan berikut:
“Seperti penyokong, saya juga dahagakan kejayaan. Saya mahu memenangi setiap perlawanan bersama pasukan, staf dan penyokong. Namun, kita perlu melakukannya langkah demi langkah. Kita perlu memperbaiki cara kita bermain, kita perlu untuk menambah baik perkara-perkara kecil, kerana perkara-perkara kecil ini akan memberikan perubahan yang besar.”
“Para penyokong perlu tahu apa yang kami sedang lakukan dan perlu faham idea kami. Mereka perlu mempunyai perasaan yang kami tahu mereka akan sentiasa berada di belakang kami dan saya fikir ini adalah hubungan yang baik antara pasukan, kelab dan juga penyokong,” katanya. – MalaysiaGazette