Home Seni Hidup RM15 juta terlalu kecil untuk industri kreatif – Hans Isaac

RM15 juta terlalu kecil untuk industri kreatif – Hans Isaac

Hans Isaac

AMPANG – Peruntukan sehingga RM15 juta untuk industri kreatif dalam Belanjawan 2021 dilihat terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah penggiat seni ketika ini.

Menurut bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac, memandangkan terdapat lebih 30,000 penggiat seni dan beberapa kluster, peruntukan itu lebih untuk jangka masa pendek.

“Saya nampak semua pelan jangka pendek, saya telah luahkan perasaan saya tentang Bajet 2021 untuk industri kreatif.

“Peruntukan RM15 juta itu ia akan dibahagikan kepada beberapa kluster kreatif. Bukan hanya filem, bukan hanya teater, bukan hanya televisyen atau art of culture.

“RM15 juta sangat kecil mungkin kerajaan ambil duit yang lebih itu untuk membantu industri-industri lain yang memerlukan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, dana RM15 juta diperuntukkan kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) bagi melaksanakan pelbagai program kesenian dan kebudayaan.

Peruntukan itu dijangka memberi memanfaat kepada lebih 5,000 warga penggiat seni serta kru balik tabir. – MalaysiaGazette