KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) mengesahkan enam pemain mereka dan dua orang kakitangan disahkan positif Covid-19 ketika tugasan antarabangsa di Austria.
Situasi itu menyebabkan semua pemain termasuk bintang Tottenhan Hotspur, Song Heung-min terpaksa berkurung dalam bilik bagi mengelakkan dijangkiti wabak tersebut.
Walaupun keputusan ujian Son negatif, dia dan anggota pasukan yang lain dimaklumkan untuk sentiasa berada di bilik hotel di Vienna, kecuali turun menjalani latihan.
Korea Selatan sempat beraksi menentang Mexico Sabtu lalu yang menyaksikan pasukan itu kalah 2-3.
Perlawanan menentang Qatar hari ini bergantung kepada keputusan ujian saringan terbaharu.
Jika terdapat sekurang-kurangnya 13 pemain bebas daripada COVID-19 dalam ujian itu, perlawanan persahabatan boleh diteruskan seperti biasa.
Minggu lalu, beberapa pemain bola sepak antarabangsa didapati positif virus itu, termasuk bintang Liverpool, Mohamed Salah dan pemain tengah Republik Ireland, Alan Brown. – MalaysiaGazette