Home Pendapat Ekosistem mantap perkasa wakaf negara

Ekosistem mantap perkasa wakaf negara

Gambar hiasan

IMPAK negatif Covid-19 keatas ekonomi negara malah ekonomi dunia tidak dapat disangkal lagi. Golongan yang terkesan secara langsung dan tidak langsung oleh pandemik ini ternanti-nanti apakah yang boleh dilakukan dengan pesekitaran ekonomi yang suram ini.

Begitu juga dengan di Malaysia, penantian rakyat Malaysia berakhir dengan pembentangan Belanjawan 2021. Pembentangan telah meredakan spekulasi dan mencerahkan teka-teki yang bermain dibenak fikiran rakyat. Insentif diperkenalkan atau diperkenalkan semula untuk membantu rakyat yang ramai terkesan dengan pandemik Covid-19 tentunya mendapat reaksi pelbagai pihak. Walaupun masih terbuka untuk didebatkan, salah satu agenda menarik dan berpotensi besar adalah pemerkasaan pengurusan wakaf.

Wakaf bukanlah perkara baru dalam Islam dan acuan wakaf telah dipinjam menjadi institusi filantropi yang sangat berjaya di negara Barat. Kejayaan universiti terrkemuka dunia mengasas, menarik minat memberi dan memastikan kelangsungan tabung endowmen merrupakan usaha serta strategi yang boleh dicontohi dalam pelaksanaan tabung wakaf di negara kita. Model wakaf dinegara lain seperti Mesir, Turki dan Singapura juga dapat dijadikan contoh baik dalam memperkasakan institusi wakaf negara.

Kajian yang dijalankan oleh penyelidik universiti tempatan beberapa tahun lalu telah mengungkap potensi melestarikan pendidikan tinggi melalui wakaf di Malaysia. Penyediaan dana untuk kajian ini membuktikan Kementerian Pendidikan Tinggi berusaha menyerlahkan potensi wakaf dalam pendidikan tinggi Malaysia. Potensi dan peranan wakaf dalam hal ini bukan sahaja diakui oleh orang Islam malah disaran dan diperrsetujui oleh ahli akademik universiti luar negara. Jelas tiada lagi keraguan tentang peranan wakaf namun apa yang
sering menjadi pokok perbincangan adalah memastikan kelangsungan dan kelestarian wakaf bagi memakmurkan ekonomi kita.

Dikala negara kita diserang pandemik Covid-19 dan ekonomi menjadi rapuh, peranan wakaf untuk bersama membangkitkan dan menstabilkan ekonomi negara yang kita sayang dan cintai ini perlu disuburkan dan diperkasakan. Pemerkasaan wakaf dalam ekonomi bagi kesejahteraan ummah memerlukan eko-sistem yang mantap. Eko-sistem ini perlu disokong oleh Kefahaman, Kesedaran, Keinginan, Keterlibatan, Kemampuan, Ketersediaan dan Kelestarian. Eko-sistem yang dimaksudkan semestinya didasari dengan pengetahuan semua pihak yang terlibat dan akan terlibat.

Mereka yang menguruskan institusi wakaf perlulah mempunyai pengetahuan dalam ehwal wakaf dan berupaya untuk menyalurkan maklumat yang betul kepada masyarakat berkaitan wakaf. Masyarkat perlu difahamkan akan perbezaan antara wakaf dan infaq serta hikmah dan nikmat mejalankan keduanya agar mereka dapat membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Kajian yang dijalankan penulis mendapati ramai yang masih tidak memahami makna dan kelebihan berwakaf.

Ada juga yang keliru dengan apakah yang boleh diwakafkan dan tidak dapat membezakan antara wakaf dan infaq. Manfaat wakaf kepada seluruh genap masyarakat perlu diketengahkan kerana tidak terdapat larangan dalam memanjang manfaat wakaf kepada orang bukan Islam. Matlamat kesejahteraan rakyat perlu menjadi agenda setiap tabung wakaf yang ditubuhkan.

Pengetahuan yang mencukupi akan menerbitkan kesedaran dan keinginan untuk berwakaf. Kesedaran berwakaf kerana tuntutan agama akan menjadikan amalan berwakaf satu usaha murni yang diharapkan mendapat bekalan kekal abadi dan balasan baik diakhirat. Matlamat untuk mendapat ganjaran pahala diakhirat dilihat sebagai satu fakta yang perlu dijadikan modal dalam usaha promosi namun begitu pengurusan perlu bijak dalam menjalankan usaha promosi.

Ini kerana jika tidak dijalankan dengan bijaksana ia akan menerbitkan rasa lelah dalam kalangan masyarakat yang terlalu kerap diminta berwakaf. Ini tentunya lebih ketara apabila masyarakat masih berada ditahap awal kesedaran dan keinginan berwakaf serta berwakaf tidak didorong oleh akualisasi diri yang mutlak. Adalah menjadi fitrah dalam naluri manusia untuk melakukan kebaikan sesama manusia dan wakaf adalah satu manifestasi untuk meraikan fitrah manusia itu sendiri sepertimana di jelaskan oleh Allah swt dalam Surah Ar-
Rum:30.

Meniup kesedaran dan menyemarakkan keinginan berwakaf perlu sentiasa dibajai agar keterlibatan masyarakat dalam menyokong wakaf terus subur dan mekar sepanjang zaman. Pengelibatan pemberi merupakan komponen penting dalam eko-sistem wakaf. Tanpa pemberi wakaf atau pewakaf tiadalah wakaf. Usaha menarik ahli masyarakat berwakaf merupakan usaha strategik yang memerlukan pengelibatan banyak pihak. Bukanlah meminta tetapi mengalakkan masyarakat menyumbang secara hikmah perlu difikirkan caranya.

Contohnya, pengecualian cukai bagi pendapatan yang diwakaf merupakan salah satu usaha yang dijangka dapat menarik masyarakat berwakaf. Tidak dapat dinafikan kemampuan dan ketersediaan instrument bewakaf adalah dua perkara yang berkait rapat antara satu sama lain. Jika dilihat secara umumnya masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama sangat pemurah dan dalam banyak hal saling membantu antara satu sama lain.

Namun begitu, keinginan untuk menunaikan wakaf sering terbantut dan dihadkan oleh kurang kemampuan di tambah dengan kefahaman wakaf lebih relavan dengan harta kekal. Tentunya kefahaman ini akan menghalang usaha untuk berwakaf terutamannya bagi mereka yang tidak berharta dan berpendapatan rendah.

Dengan itu kepelbagaian instrumen perlu difikirkan agar masyarakat mempunyai akses berwakaf mengikut apa yang termampu oleh mereka. Penulis pernah menyarankan harta intelek yang tersimpan diuniversiti boleh diwakafkan atas sifat dan kebolehannya menjana pendapatan untuk dimanfaatkan.

Belanjawan 2021 ada menyarankan wakaf Amanah Saham sebagi instrumen wakaf dan ini merupakan satu yang berpotensi namun penelitian perlu dibuat oleh Majlis Fatwa untuk menentusah saham ini sebagai instrumen wakaf. Kelestarian inisatif wakaf adalah langkah mempertahankan inisiatif wakaf ini perlu digalas
oleh pengurusan wakaf atau mereka yang telah diberi amanah.

Wakaf yang diamanahkan perlu ditadbir dan diurus dengan cekap agar ia terus subur dan berkembang untuk terus memberikan manfaat kepada semua. Pentadbiran dan pengurusan yang telus, amanah dan professional akan dapat meraih keyakinan masyrakat untuk terus memakmurkan institusi wakaf. Pengwujudan perundangan yang khusus untuk ehwal wakaf akan meletak hala tuju wakaf negara dilandasan yang betul serta dapat menghindari penyelewangan dana wakaf.

Undang-undang juga akan dapat menghindar golongan yang mengambil kesempatan atas penubuhan tabung wakaf untuk kepentingan peribadi. Ini juga dapat mengusir kebimbangan masyarakat yang pastinya mahukan manfaat apa yang diwakafkan sampai kepada golongan yang sepatutnya.

Di samping itu adalah penting untuk menguruskan institusi wakaf sebagai satu entiti yang tersusun dan teratur dalam segala hal seperti kewangan, hala tuju, strategi pengembangan dan kemakmuran memerlukan gembelengan pakar dalam bidang seperti wakaf, pengurusan kewangan dan pengurusan harta. Inilah usaha yang dijalankan oleh universiti terkemuka dunia dalam mengembangluas tabung endowmen mereka.

Secara amnya pemerkasaan institusi wakaf akan dapat membantu mengubati ekonomi negara yang terkesan oleh pandemik Covid-19. Namun begitu, ini hanya akan tercapai jika kita mempunyai ekosistem wakaf yang mantap. Pengetahuan tentang wakaf dan hikmahnyaberserta strategi yang berhemah dalam menarik kepercayaan berwakaf dan mentadbir urus wakaf dengan cekap, telus dan professional akan dapat meningkatkan keyakinan masyarakat akan peranan mereka dalam membantu pemulihan ekonomi negara melalui wakaf.

Prof Madya Dr Aminah Md Yusof
Pensyarah
Sekolah Kejuruteraan Awam
Fakulti Kejuruteraan
Unievrsiti Teknologi Malaysia