Home Nasional i-Sinar KWSP: Bukti kerajaan prihatin rakyat – CUEPACS

i-Sinar KWSP: Bukti kerajaan prihatin rakyat – CUEPACS

Datuk Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan pengeluaran simpanan persaraan daripada akaun 1, i-Sinar, kepada lebih dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, kemudahan akses secara bersasar kepada mereka yang terjejas itu merupakan satu keputusan tepat kerana ia membantu golongan yang terkesan dan dalam masa sama menjamin simpanan hari tua buat mereka yang tidak terkesan ekoran penularan Covid-19.

Malah katanya, keputusan itu juga mencerminkan bahawa kerajaan dan KWSP mendengar keluhan dan suara hati rakyat yang begitu terkesan dengan situasi pandemik ketika ini.

“Dalam hal ini inisiatif KWSP wajar dipuji kerana agensi tersebut terlibat secara langsung dalam inisiatif berjumlah RM61 bilion bagi membantu kelangsungan hidup rakyat (termasuk i-Sinar, i-Lestari dan pengurangan kadar caruman).

“Walaupun secara zahirnya kakitangan di sektor kerajaan tidak terjejas pendapatan, kemungkinan ada dalam kalangan pasangan mereka yang berniaga atau bekerja di sektor swasta terkesan dengan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, CUEPACS menasihatkan semua ahli termasuk penjawat awam yang membuat caruman KWSP supaya mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan KWSP atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) jika mengalami masalah atau pertanyaan berhubung i-Sinar, katanya.

Dalam pada itu kata beliau, pihaknya berharap kerajaan pada masa akan datang memberi keutamaan kepada KWSP dalam projek pembangungan dan pelaburan yang boleh menjana keuntungan lumayan agensi itu.

“Langkah tersebut sekurang-kurangnya membolehkan KWSP mencatat pertumbuhan yang lebih baik sekaligus menterjemahkannnya kepada pemberian dividen lebih tinggi kepada pencarum.

“Ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan kembali jumlah simpanan persaraan pencarum KWSP termasuk pekerja di sektor AWAM yang membuat caruman KWSP,” tambah beliau. – MalaysiaGazette