
LONDON – Pemain tengah Arsenal dan Mesir, Mohamed Elneny disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan.
Menurut ejennya, jumlah kes itu didedahkan ekoran membabitkan pemain Liga Perdana Inggeris setelah kes Covid-19 menunjukkan peningkatan selepas mereka terbabit aksi rehat antarabangsa.
Malah, beberapa siri kecederaan turut menghantui pemain di kelab utama liga itu.
Alan Nazmy, ejen Elneny menerusi Twitter menyatakan: “Elneny positif Covid-19 moga cepat sembuh,” ciap beliau.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) mengesahkan bahawa Elneny kini menjalani kuarantin selari dengan protokol perubatan yang ditetapkan.
Keputusan ujian Elneny itu hadir tiga hari selepas penyerang Liverpool, Mohamed Salah turut didapati positif Covid-19 ketika menggalas tugasan antarabangsa bersama Mesir.
“Keputusan ujian calitan yang dijalankan pasukan kebangsaan sebaik tiba di Togo menunjukkan semua pemain negatif kecuali pemain Arsenal, Mohamed Elneny yang didapati positif tanpa gejala,” kata EFA menerusi hantara di Facebook.
Mesir yang beraksi tanpa kelibat Salah menewaskan Togo 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Negara Afrika, pada Sabtu lalu. – MalaysiaGazette