KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja digesa supaya melonggarkan syarat-syarat pengeluaran Akaun 1 bagi membolehkan lebih ramai lagi rakyat mendapat manfaat daripada kemudahan i-Sinar yang diumumkan kerajaan semalam.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ramai yang mengadu kepada pergerakan itu berkaitan syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh KWSP.
Katanya, ringkasan syarat-syarat permohonan yang dihantar oleh pengadu menunjukkan ianya begitu rigid dan ketat sehingga menyukarkan pencarum memanfaatkan kemudahan tersebut.
Menurut Dr Asyraf, ramai yang terjejas teruk punca pendapatan tetapi tidak berada dalam kategori diberhentikan kerja atau ditangguh bayaran gaji.
Malah, katanya, ramai jua yang menjadi pencarum selama puluhan tahun tetapi sudah tidak mencarum dalam tempoh Mac 2019 hingga Februari 2020 sebagaimana yang disyaratkan.
“Namun, hakikatnya mereka tetap berdepan dengan isu kelangsungan hidup akibat terjejas teruk sumber pendapatan lantaran kerugian perniagaan disebabkan pandemik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Justeru, katanya, Pemuda UMNO mengharapkan ihsan pihak KWSP untuk melonggarkan syarat agar mengambil kira juga rakyat yang ketika ini benar-benar sengsara akibat kekangan punca pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Semalam KWSP mengumumkan kemudahan i-Sinar yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh 2 juta ahli KWSP menerusi pengeluaran 10 peratus daripada akaun 1. – MalaysiaGazette