Home Nasional PKPB: Mohon kerajaan beri kebenaran adakan majlis perkahwinan – PPMPM

PKPB: Mohon kerajaan beri kebenaran adakan majlis perkahwinan – PPMPM

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Arabath Arul Alavudeen ketika sidang media berkaitan dengan industri perkahwinan di Emerald Avenue, Batu Caves. foto AFIQ HAMBALI, 17 NOVEMBER 2020

GOMBAK – Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) memohon pertimbangan kerajaan untuk membenarkan majlis perkahwinan diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kehadiran kira-kira 250 tetamu dalam satu masa mengikut kapasiti dewan.

Setiausaha Agungnya, Arabath Ali Arul Alavudeen berkata, jika kerajaan memberikan kebenaran ia dapat membantu para pengusaha industri perkahwinan meneruskan perniagaan mereka sekali gus mempunyai aliran tunai bagi menampung kos ‘overhead’ bulanan.

“Industri perkahwinan sudah pun mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan pengusaha juga telah melaksanakan SOP ini dengan sempurna ketika dibenarkan beroperasi sebelum ini.

“Kami juga mengalu-alukan SOP yang lebih ketat jika itu yang diinginkan kerajaan kerana kami hanya mahu menyelamatkan pengusaha-pengusaha ini daripada gulung tikar,” katanya pada sidang media di Tiara Grand Hall, Batu Caves.

Mengulas lanjut, Arabath Ali berkata, PPMPM telah pun mengadakan perbincangan dan ingin mengetengahkan beberapa usul kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk dipertimbangkan agar industri perkahwinan di negara ini dapat diselamatkan.

Jelasnya, para pengusaha merayu supaya kerajaan menyambung tempoh moratorium sehingga Jun 2021 selain memberi bantuan geran sebanyak RM5,000 menerusi Geran Khas Prihatin Perniagaan secara one-off.

Antara lain adalah melonggarkan syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan seperti Tekun, SME Corp dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), memberikan subsidi penyewaan dewan perkahwinan sebanyak 30 peratus dari sewa asal kepada peniaga selama enam bulan, ‘tax holiday’ bagi tahun 2020 dan subsidi dalam bil utiliti bulanan.

Sementara itu Presiden PPMPM, Zarinah Mohideen berkata, persatuan berkenaan ditubuhkan pada bulan Jun lalu sebagai platform untuk menyuarakan masalah yang dihadapai para pengusaha industri perkahwinan yang terjejas pendapatan sehingga 70 peratus dengan sebilangannya yang gulung tikar.

Menurut Zarinah, terdapat 900 pengusaha yang berdaftar setakat ini membabitkan peniaga katering, penyedia dewan perkahwinan, deejay serta jurusolek.

“Kami mengharapkan ihsan daripada kerajaan untuk mempertimbangkan permohonan kami dengan menyambung moratorium secara automatik kerana ramai pengusaha terikat dengan pelbagai pinjaman bank dengan purata anggaran pinjaman paling minimum RM30,000 setiap bulan.

“Nasihat saya kepada semua pengusaha supaya terus bersabar dari segi fizikal dan mental kerana saya faham bukan mudah untuk mengekalkan perniagaan ini jika pandemik Covid-19 berlarutan sehingga tahun hadapan,” ujarnya.

Tambah Zarinah, kebanyakan pengusaha yang gulung tikar terpaksa mencari inisiatif lain untuk mencari rezeki antaranya menjalankan perniagaan makanan serta menjual barangan secara dalam talian.

Katanya lagi, esok PPMPM dijangka akan menyampaikan surat cadangan tersebut kepada beberapa kementerian iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. – Malaysia Gazette