Home Utama Potong elaun Ahli Parlimen jadi Pengerusi GLC

Potong elaun Ahli Parlimen jadi Pengerusi GLC

Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan agar memotong elaun dan yuran Ahli Parlimen yang menjadi pengerusi mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebanyak 50 peratus.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengurangan itu boleh disalurkan kepada Tabung Covid-19 sebagai tanggungjawab sosial korporat.

“Dalam masa yang sama, negara juga memerlukan kepimpinan melalui teladan atau, dengan izin, ‘leadership by example’ dalam hal ini, dan saya cadangkan potongan sebanyak 10 peratus ke atas gaji Perdana Menteri, Menteri Kanan, Menteri, dan
Timbalan Menteri sehingga akhir tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahasakan Belanjawan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menambah, peruntukan bagi setiap Pusat Khidmat Rakyat Parlimen perlu diberikan sama rata dan secara terus, tidak kira sama ada Ahli Parlimen itu dari blok kerajaan mahupun dari blok pembangkang.

Jelasnya, jika dilaksanakan, beliau pasti semua Ahli Parlimen pembangkang setuju untuk memotong 10 peratus elaun mereka untuk disalurkan ke Tabung Covid-19, dengan syarat semua Ahli Parlimen kerajaan juga tertakluk kepada pemotongan yang sama.

“Demi kepentingan rakyat dan negara, saya berharap tiada pihak yang membuat kenyataan mengugut bahawa pembayaran gaji penjawat awam pada tahun hadapan tidak dapat dibayar seandainya Belanjawan 2021 ini tidak diluluskan. Emolumen penjawat awam, kami tidak dipertikaikan.

“Belanjawan 2021 mestilah inklusif dan bukan eksklusif; yang komprehensif, dan bukan terhad atau sempit; dan Belanjawan yang perjuangkan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara, dan pembendungan efektif wabak Covid-19, itulah belanjawan yang kami sokong,” katanya. – MalaysiaGazette