Home Politik Tak jadi masalah, sesiapa pun boleh bertanding lawan saya – Zuraida

Tak jadi masalah, sesiapa pun boleh bertanding lawan saya – Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hadir ketika lawatan ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Presint 5, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Bekas pemimpin PKR, Zuraida Kamaruddin tidak kisah siapa pun yang akan menjadi pencabarnya termasuk selebriti di Parlimen Ampang pada pilihan raya umum nanti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, tidak menjadi masalah kepadanya untuk berdepan dengan pencabarnya kerana beliau sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi.

“Saya tak jadi masalah sesiapa pun boleh bertanding di situ. Kita amalkan demokrasi.

“Artis ke…tukang angkat sampah ke…media ke..pemberita pun boleh dialu-alukan, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Presint 5 hari ini.

Zuraida ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac disebut-sebut sebagai calon Parlimen Ampang mewakili PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

PKR tidak menolak kemungkinan untuk mempertahankan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada tahun 2008.

Parlimen Ampang dan Gombak antara kawasan yang menjadi tumpuan serta perhatian rakyat, lebih-lebih lagi wakil rakyatnya kini bersama parti pemerintah dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Boleh dikatakan ketika ini kedua-dua kerusi Parlimen itu tidak mempunyai wakil rakyat daripada PKR susulan kedua-dua penyandangnya telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas peristiwa Langkah Sheraton.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pencabarnya itu yang mungkin mempunyai kekuatan tersendiri untuk berdepan dengan beliau, Zuraida berkata, semua itu boleh dilihat bila tiba masanya nanti.

“Takpa itu boleh tengok nanti…bila bertanding kita boleh lihat bagaimana,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Soal calon biar PKR tentukan, saya hanya buat kerja – Hans Isaac