Home Nasional Tiada halangan percepat PKPB kepada PKPP jika lengkung Covid-19 dapat diratakan

Tiada halangan percepat PKPB kepada PKPP jika lengkung Covid-19 dapat diratakan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba meluangkan masa melawat seorang anggota polis trafik, Koperal Nazmi Abdullah yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur akibat cedera ditimpa khemah ketika menjalankan tugas menjaga sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai halangan untuk mempercepatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditukar kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya lengkung jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah tersebut dapat dilaksanakan sekiranya pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu berada pada tahap maksimum.

Menurut beliau, PKPB dikuatkuasa kerana terdapat lonjakan kes pada bulan September di beberapa tempat dalam negara yang menyebabkan kerajaan perlu melaksanakannya semula.

“Penilaian risiko jangkitan dijalankan setiap hari oleh KKM dan sekiranya penurunan itu dilihat ketara dan lengkung Covid-19 dapat dilandaikan segera maka kita tidak ada halangan untuk mempercepatkan supaya PKPB ditukarkan kepada PKPP semula.

“Syarat pematuhan kepada norma baharu dan SOP itu wajib kerana kita tidak mahu sebarang penularan di zon hijau dan kita harap zon merah dapat bertukar kepada zon kuning manakala zon kuning kembali semula kepada zon hijau. Itulah matlamat kita untuk membenarkan PKPB ditukar kepada PKPP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai PKPB yang dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang sama ada boleh dipendekkan daripada empat kepada dua minggu jika lengkung jangkitan COVID-19 berjaya diratakan lebih awal.

PKPP mula dilaksanakan pada 10 Jun bagi menggantikan PKPB dan dijadualkan berakhir pada 31 Ogos sebelum kerajaan mengumumkan untuk menyambungnya pada 1 September sehingga 31 Disember.

Bagaimanapun, ekoran kenaikan mendadak jangkitan kes Covid-19 usai Pilihan Raya Negeri Sabah, kerajaan kembali melaksanakan PKPB bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Terdahulu Adham meluangkan masa hampir 20 minit di Wad Neurologi 4A, Hospital Kuala Lumpur bagi bertanya khabar dan perkembangan kesihatan seorang anggota polis trafik yang cedera dihempap khemah ketika menjalankan tugas menjaga sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Plaza Tol Duta, Ahad lalu.

Koperal Mohd. Nazmi Moris Abdullah, 37, dari Bahagian Kawalan Lalu Lintas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengalami kecederaan pada bahagian kepala ketika berteduh semasa hujan lebat berserta angin kuat sehingga meranapkan khemah di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette